Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mendapat mandat kukuh setelah Parti Tindakan Rakyat (PAP) berjaya memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Malah, kemenangan PAP boleh dianggap satu kemenangan besar dengan parti itu menerima undi sah sebanyak 65.57 peratus – sekitar 4 mata peratusan lebih tinggi daripada 61.24 peratus dalam GE2020.
Kejayaan itu termasuk memenangi beberapa kawasan undi ‘hangat’ antaranya Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Tampines, GRC Punggol, GRC East Coast, GRC West Coast-Jurong West serta Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Jalan Kayu.
Saingan sengit empat penjuru di GRC Tampines dimenangi pasukan PAP, yang dipimpin Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Pasukan itu meraih kemenangan tipis dengan 52.02 peratus undi.
Lain-lain anggota pasukan PAP GRC Tampines ialah Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng; dan dua muka baru PAP, Encik David Neo dan Dr Charlene Chen.
Lawan pasukan PAP di GRC tersebut ialah Parti Pekerja (WP), yang dianggotai Encik Faisal Manap, Encik Jimmy Tan, Dr Ong Lue Ping, Cik Eileen Chong dan Encik Michael Thng. Dua lagi parti ialah Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP).
Kekalahan WP di GRC Tampines itu juga bermakna Encik Faisal, yang merupakan anggota pembangkang Melayu pertama apabila beliau menang sebagai sebahagian daripada pasukan di GRC Aljunied pada 2011, kehilangan kerusi parlimennya.
WP, yang dipimpin ketuanya, setiausaha agung, Encik Pritam Singh, pula kekal menguasai GRC Aljunied, GRC Sengkang dan SMC Hougang.
Parti pembangkang itu mempertahankan kedudukannya di GRC Aljunied dengan undi 59.68 peratus; di GRC Sengkang dengan undi 56.31 peratus dan SMC Hougang dengan undi 62.17 peratus.
Satu lagi kawasan undi yang melihat saingan sengit ialah GRC Punggol.
Pasukan PAP di GRC tersebut, yang diketuai Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Gan Kim Yong, menang dengan undi 55.17 peratus.
Lain-lain anggota pasukan PAP GRC Punggol ialah Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling; dan Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling.
Mereka menewaskan pasukan WP yang menampilkan ‘calon bintang’ WP, peguam kanan, Encik Harpreet Singh.
Keputusan GE2025 ini juga menampilkan beberapa kemenangan besar bagi PAP, antaranya di GRC West Coast di mana parti pemerintah itu menang dengan undi 60.01 peratus menewaskan Parti Kemajuan Singapura (PSP); dan di GRC East Coast dengan undi 58.76 peratus mengalahkan WP.
Malah, kenaikan undi disaksikan di banyak kawasan undi dalam GE2025, berbanding GE2020.
Trend tersebut mencerminkan sokongan kukuh bagi setiausaha agung PAP, Encik Wong, dan para pemimpin 4G.
Pada 1991, Encik Goh Chok Tong memenangi 61 peratus undi semasa memimpin PAP sebagai perdana menteri buat kali pertama, manakala Encik Lee Hsien Loong memenangi 66.6 peratus pada 2006.
Berucap di Stadium Yio Chu Kang di mana penyokong PAP berhimpun, Encik Wong berkata:
“Ini adalah pilihan raya pertama saya sebagai Perdana Menteri dan juga sebagai Setiausaha Agung PAP. Maka ini adalah pengalaman yang sangat merendahkan hati untuk bekerja, berinteraksi dan bergaul bersama anda semua.
“Sekali lagi kami berterima kasih atas mandat anda yang kukuh dan kami akan menghormatinya. Kami akan menghormati kepercayaan yang anda berikan kepada kami dengan bekerja lebih keras lagi untuk anda semua.”
Dalam pada itu, WP pula terus memperkukuh kedudukannya, namun gagal menambah jumlah kerusi Parlimen meskipun menurunkan barisan calon paling kuat dalam pilihan raya, menurut penilaian ramai pengamat politik.
Parti itu melabuhkan tirai GE2025 dengan 10 kerusi Parlimen.
Berucap kepada penyokongnya di Stadium Serangoon, Encik Pritam berkata WP telah menjangkakan pilihan raya yang sengit.
“Kita sambung kerja kita esok, dan cuba lagi... Sokongan anda amat penting dalam misi kami untuk mencapai sebuah Parlimen yang lebih seimbang,” ujar beliau.
Sedang WP memperkukuh kedudukannya, GE2025 ini merupakan satu tamparan bagi parti-parti pembangkang lain dengan PSP gagal mengekalkan dua kerusi NCMP di Parlimen.
Parti-parti yang menurunkan jumlah calon yang ramai termasuk Perikatan Rakyat Bagi Pembaharuan (PAR) dan Titik Merah Bersatu (RDU) pula gagal meninggalkan kesan bermakna, sekali gus menyerlahkan jurang antara mereka dengan parti pembangkang utama, WP.
Bagaimanapun Parti Demokratik Singapura (SDP) menunjukkan kelakonan memberangsangkan dengan ketua parti itu, Dr Chee Soon Juan, meraih 46.81 peratus undi bagi SMC Sembawang West.
Dalam saingan SMC, PAP memenangi 61.41 peratus undi di Bukit Panjang dengan Encik Liang Eng Hwa menewaskan calon SDP, Profesor Paul Tambyah.
Calon PAP, Encik Ng Chee Meng, pula menang tipis dengan meraih 51.47 peratus undi menewaskan lawannya, Encik Andre Low, daripada WP. Dengan kekalahan tipis itu, Encik Low akan diberikan kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP). Seorang lagi NCMP dijangka daripada pasukan WP di GRC Tampines.
WP mengekalkan kerusinya di SMC Hougang dengan Encik Dennis Tan meraih 62.17 peratus undi, mengatasi saingan calon PAP, Encik Marshall Lim.
Sementara itu, GRC Tanjong Pagar merupakan pemenang paling besar bagi GRC dengan kemenangan 81.03 peratus, manakala SMC dengan kemenangan paling besar ialah Queenstown dengan 81.12 peratus.
Sejumlah 2,429,281 orang telah mengundi di Singapura, termasuk 42,829 yang undi rosak. Bilangan ini merangkumi 92.47 peratus daripada seramai 2,627,026 pengundi yang didaftar.
Lebih banyak kerusi dipertandingkan kali ini, naik daripada 93 kerusi pada GE2020 kepada 97 kerusi yang dipertandingkan di 33 kawasan undi.
Namun lima kerusi telah dimiliki PAP pada Hari Penamaan Calon apabila pasukannya di GRC Marine Parade-Braddell Heights menang tanpa bertanding – kali pertama keadaan sedemikian berlaku sejak 2011.
WP, satu-satunya parti pembangkang yang mempunyai Anggota Parlimen (AP) dipilih di Parlimen, menandingi 26 kerusi.
Sepanjang kempen sembilan hari yang berakhir pada 1 Mei, Encik Wong dan beberapa pemimpin kanan pemerintah telah menyuarakan harapan PAP untuk mendapatkan mandat kukuh daripada rakyat untuk menyokong usaha negara menghadapi kededua cabaran domestik dan luar negara.
Selaras dengan itu, Encik Wong juga menekankan kehadiran lebih pembangkang dan kehilangan menteri boleh melemahkan pemerintah.
WP pula berkempen dengan hasrat meyakinkan rakyat peri penting menambah jumlah kerusi pembangkang di Parlimen untuk membangunkan Parlimen yang lebih seimbang dan pemerintah yang bertindak secara lebih bertanggungjawab.
Persaingan di beberapa kawasan undi telah menarik perhatian rakyat semasa tempoh berkempen.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg