Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Encik Lawrence Wong akan mengetuai delegasi pemegang jawatan politik Singapura ke Brunei Darussalam mulai 3 hingga 4 November 2025 bagi Program Pemimpin Muda (YLP) ke-11.
Lawatan itu dilakukan atas jemputan Putera Mahkota Brunei merangkap Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Putera Al-Muhtadee Billah, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 2 November.
Encik Wong akan bertemu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta Putera Al-Muhtadee Billah.
Encik Wong juga akan dijamu sajian tengah hari oleh Sultan Hassanal Bolkiah dan menghadiri majlis makan malam bersama Putera Al-Muhtadee Billah.
Encik Wong juga akan melawat beberapa kemudahan berkaitan kesihatan di Jerudong.
Beliau akan diiringi oleh Menteri Pembangunan Negara Encik Chee Hong Tat; Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau; Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, serta para pegawai dari PMO dan agensi-agensi berkaitan.
Sepanjang ketiadaan Encik Wong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong akan menjalankan peranan sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Dilancarkan pada 2013, YLP tahunan ini bertujuan untuk membina dan mempererat hubungan antara generasi pemimpin akan datang.
Ia mencerminkan komitmen kukuh kedua-dua negara untuk mempertingkatkan hubungan dua hala istimewa yang terjalin sekian lama.
Program ini juga menjadi peluang untuk membincangkan cara memperkukuh kerjasama dalam bidang kepentingan bersama, sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan pertahanan dua hala pada tahun 2026 dan ulang tahun ke-60 Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang pada 2027.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg