Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura, Indonesia buka lembaran baru dalam hubungan dua hala, teroka bidang kerjasama baru

Nov 6, 2024 | 8:30 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bertemu dengan media Singapura di akhir lawatan pengenalan beliau ke Jakarta, Indonesia pada 6 November.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bertemu dengan media Singapura di akhir lawatan pengenalan beliau ke Jakarta, Indonesia pada 6 November. - Foto ST

Singapura dan Indonesia akan melakar lembaran baru dalam hubungan dua hala dengan bekerjasama dalam bidang dan peluang baru, membangunkan asas kukuh dan mengeratkan lagi hubungan rapat yang telah dibina pemimpin terdahulu, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Bertemu media Singapura di akhir lawatan pengenalan beliau ke Jakarta, dari 5 hingga 6 November, Encik Wong berkata Singapura dan Indonesia sedang meneroka peluang untuk bekerjasama dalam bidang baru seperti jaminan makanan dan tenaga.

Beliau juga menekankan pentingnya hubungan antara rakyat, dengan usaha untuk memperkukuh pertukaran antara rakyat kedua-dua negara itu.

Sebagai sebahagian daripada lawatannya itu, Encik Wong telah mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, di Istana Merdeka, Jakarta, di mana kedatangan beliau disambut dengan penuh istiadat.

Encik Wong merupakan tetamu luar negara rasmi pertama sejak Encik Prabowo mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober.

Kedatangan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ke Istana Merdeka, Jakarta, pada 6 November, di mana beliau bertemu dengan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, disambut dengan penuh istiadat.
Kedatangan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ke Istana Merdeka, Jakarta, pada 6 November, di mana beliau bertemu dengan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, disambut dengan penuh istiadat. - Foto ST

Dalam bidang jaminan makanan, Encik Wong berkata Singapura boleh berkongsi kepakaran dalam teknologi makanan, terutama yang berkaitan dengan pertanian bandar dan cara menjadikan tanaman lebih berdaya tahan dan produktif.

Berhubung bidang jaminan tenaga pula, mereka telah membincangkan cara mengusahakan perdagangan elektrik rentas sempadan bagi tenaga boleh diperbaharui, serta projek penangkapan dan penyimpanan karbon.

“Ini adalah bidang yang sangat berpotensi. Ia adalah bidang pertumbuhan baru yang berpotensi untuk kedua-dua negara kita,” kata beliau kepada media Singapura.

“Presiden Prabowo merupakan seorang individu yang sangat berorientasikan tindakan… Saya pasti dan yakin bahawa dengan bidang kerjasama utama yang telah kami bincangkan, kita akan dapat lihat… hasil yang positif.

“Dan itulah sebabnya kita tidak sabar untuk bekerjasama dengan beliau dan pasukannya dalam bidang yang berbeza ini untuk membawa hubungan kita ke tahap yang lebih tinggi,” tambah beliau.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, berjabat tangan semasa satu sidang media bersama menyusuli pertemuan mereka di Istana Merdeka, Jakarta, pada 6 November.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, berjabat tangan semasa satu sidang media bersama menyusuli pertemuan mereka di Istana Merdeka, Jakarta, pada 6 November. - Foto ST

Kedua-dua pemimpin itu juga telah membincangkan usaha memperkukuh hubungan antara rakyat, bahkan dari usia muda lagi, dengan idea bagi lebih banyak sekolah daripada kedua-dua negara mengadakan program berkembar, pertukaran pelajar dan guru, serta pertukaran di peringkat universiti.

Dalam soal kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa pula, Encik Wong berkata Singapura dan Indonesia berkongsi perspektif serupa berhubung dasar asing, dengan kedua-dua negara itu mahu menjadi rakan kepada semua.

Baru-baru ini juga, Indonesia telah melahirkan hasrat menyertai Brics – wadah kerjasama bagi ekonomi sedang membangun terdiri daripada Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan.

Encik Wong berkata Singapura akan mengekalkan fikiran terbuka mengenai Brics dan mana-mana organisasi lain, namun apa yang lebih penting bagi Singapura dan Indonesia adalah Asean.

“Ia mungkin Brics, mungkin Apec, mungkin G20... apa jua pun. Namun, kumpulan paling penting bagi kedua-dua Indonesia dan Singapura ialah Asean kerana ini adalah rantau kita, dan oleh itu, kita mahu terus mencari jalan untuk mengukuhkan integrasi Asean dan menjadikan Asean lebih kukuh dan lebih bersatu,” kata beliau.

Semasa lawatannya itu, Encik Wong turut bertemu Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka; Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat, Encik Ahmad Muzani; dan Ketua Dewan Perwakilan Daerah, Encik Sultan Bachtiar Najamudin.

Ini merupakan kali keempat Encik Wong bertemu dengan Encik Prabowo pada 2024.

Kali pertama di Bogor, Indonesia, pada April semasa Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia antara Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, dan Presiden Indonesia semasa itu, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Kali kedua ketika Encik Prabowo datang ke Singapura bagi menghadiri Dialog Shangri-La pada Jun, dan kali ketiga apabila Encik Wong melakukan lawatan ke Jakarta pada 20-21 Oktober untuk menghadiri upacara angkat sumpah jawatan Encik Prabowo sebagai Presiden.

Pada sebelah pagi, Encik Wong juga telah meletakkan karangan bunga di Taman Makam Pahlawan Kalibata di Jakarta – satu adat biasa dilakukan bagi lawatan oleh pemimpin luar negara ke Indonesia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg