PM Wong: Konflik berpanjangan bawa risiko serius pada rantau, masyarakat antarabangsa
PM Wong: Konflik berpanjangan bawa risiko serius pada rantau, masyarakat antarabangsa
Konflik berpanjangan akan menimbulkan risiko serius, bukan sahaja kepada rantau ini, bahkan juga kepada masyarakat antarabangsa yang lebih luas, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Dalam catatan Facebooknya pada 9 Mac, Encik Wong berkata, beliau telah bercakap dengan Amir (Ketua Negara) Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, pada 8 Mac untuk membincangkan keadaan yang pesat berkembang di Timur Tengah.
“Saya menyampaikan sokongan Singapura terhadap usaha diplomatik yang berterusan untuk mengendurkan ketegangan dan menggalakkan kestabilan di rantau ini.
“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Singapura kekal menjadi keutamaan kami.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Mulia (Sheikh Tamim) dan pihak berkuasa Qatar atas penjagaan berterusan mereka terhadap rakyat Singapura di Qatar,” kata Encik Wong.
Encik Wong berkata Singapura sangat menghargai hubungan kukuhnya dengan Qatar dan akan terus bekerjasama rapat dalam tempoh yang mencabar ini.
Beliau turut memberi jaminan pegawai kedua-dua negara sedang bekerjasama rapat demi memastikan rakyat Singapura dijaga dengan baik dan untuk menyokong sebarang pengaturan perjalanan yang diperlukan.

