Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong lahir penghargaan pada PM Thai atas bantuan pesawat SQ321

May 28, 2024 | 8:38 PM
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, menghubungi Perdana Menteri Thailand, Encik Srettha Thavisin, pada 28 Mei untuk melahirkan penghargaannya atas bantuan kerajaan negara itu kepada pesawat penerbangan Singapore Airlines (SIA), SQ321, yang terjejas dengan insiden gelora udara ekstrem baru-baru ini.
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, menghubungi Perdana Menteri Thailand, Encik Srettha Thavisin, pada 28 Mei untuk melahirkan penghargaannya atas bantuan kerajaan negara itu kepada pesawat penerbangan Singapore Airlines (SIA), SQ321, yang terjejas dengan insiden gelora udara ekstrem baru-baru ini. - Foto FACEBOOK LAWRENCE WONG

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menghubungi Perdana Menteri Thailand, Encik Srettha Thavisin, untuk melahirkan penghargaannya atas bantuan kerajaan negara itu kepada pesawat penerbangan Singapore Airlines (SIA), SQ321, ketika ia dilencongkan ke Bangkok.

PM Wong berkata Singapura berterima kasih atas sokongan pihak berkuasa Thailand dalam memindahkan penumpang dan kru, serta menyediakan rawatan perubatan bagi yang cedera.

“Kami menghargai sokongan itu,” kata Encik Wong, juga Menteri Kewangan, dalam satu hantaran di Facebook pada 28 Mei.

Pesawat tersebut mengalami gelora udara ekstrem pada 21 Mei di Lembangan Irrawaddy di Myanmar, kira-kira 10 jam setelah berlepas dari London ke Singapura.

Juruterbang kemudian mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat itu ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok.

Kejadian tersebut mengakibatkan seorang lelaki meninggal dunia dan puluhan lain cedera.

Pesawat itu kembali ke Singapura pada 26 Mei selepas dibenarkan berlepas dari Bangkok.

Semua kru dalam pesawat SQ321 telah kembali ke Singapura, kata SIA pada 27 Mei.

Sehingga 4.30 petang pada 27 Mei, syarikat penerbangan nasional itu berkata 52 penumpang yang berada dalam SQ321 masih berada di Bangkok, termasuk 34 di hospital.

Semasa panggilan itu, Encik Wong juga mengucapkan terima kasih kepada Encik Srettha, yang menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan barunya. 

Pada 15 Mei, Encik Wong mengangkat sumpah di Istana sebagai Perdana Menteri keempat Singapura, menggantikan Encik Lee Hsien Loong.

Encik Wong menambah: “Singapura dan Thailand berkongsi hubungan mesra, disokong oleh lawatan peringkat tinggi yang kerap, hubungan ekonomi yang meluas dan interaksi yang kerap di peringkat antara rakyat.

“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan beliau untuk meningkatkan kerjasama dua hala dan serantau kami, terutama ketika kami meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada 2025.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg