Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengunjungi Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Pulau Tekong pada 27 Ogos.
Dalam lawatan itu, Encik Wong menyertai dua kompeni rekrut – merangkumi kira-kira 420 rekrut – dalam larian sejauh 1.8 kilometer, mengambil bahagian dalam latihan kecergasan serta sesi Latihan Pengendalian Teknikal senapang SAR 21.
Encik Wong turut mengadakan sesi pertemuan dengan rekrut itu serta pembimbing dan kakitangan BMTC.
Ini adalah lawatan rasmi pertama Encik Wong ke SAF selepas menjadi Perdana Menteri Singapura.
Beliau diiringi oleh Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Panglima Tentera Darat SAF, Mejar Jeneral David Neo; dan pegawai kanan lain daripada Tentera Darat Singapura.
Encik Wong turut berkongsi dengan rekrut pengalaman beliau menyertai Perkhidmatan Negara (NS) dan sebagai seorang rekrut di Pulau Tekong lebih 30 tahun lalu pada 1991.
“Ia adalah Perkhidmatan Negara yang sangat berbeza ketika itu. Banyak yang telah berubah tetapi saya memberi jaminan bahawa taraf latihan anda adalah sama.
“Saya harap semua yang anda telah lalui dalam latihan akan kekal bersama anda... bukan hanya pada tahap kecergasan fizikal, malah cara berfikir, disiplin, ketabahan dan daya tahan serta keazaman untuk terus mencabar kemampuan anda,” ujar beliau.
Encik Wong turut menekankan kepentingan NS yang merupakan tulang belakang bagi kekuatan SAF, sekali gus menjadi dasar keselamatan terpenting negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg