Satu piagam belia baru yang bertujuan memperkasa golongan muda di Singapura untuk tampil dan bertindak terhadap isu masyarakat yang dekat dengan hati mereka telah dilancarkan pada 1 Mac.
Piagam Belia Persatuan Rakyat (PA) itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang juga pengerusi PA, di acara Future of Youth anjuran Pergerakan Belia PA (PAYM) di Ngee Ann City Civic Plaza.
Sempena sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura, atau SG60, PA turut memperkenalkan Geran Penglibatan PA SG60 baru bagi membiayai inisiatif masyarakat yang dipimpin belia.
Geran itu akan memberi hingga $3,000 kepada setiap rangkaian belia PAYM untuk golongan muda menganjurkan projek bertema kesihatan mental, keharmonian kaum dan agama, atau kemampanan dan alam sekitar.
PAYM juga telah mengikrarkan 1 juta masa sukarela untuk merancang dan menganjurkan projek masyarakat dari peringkat bawah ke atas, atau ‘ground-up’.
Dalam ucapannya, Encik Wong berkata Piagam Belia PA itu bukan hanya satu dokumen bahkan adalah satu rangka tindakan bagi membentuk masyarakat dan Singapura yang golongan muda mahukan untuk diri mereka dan masa depan mereka.
“Saya selalu percaya bahawa belia kita mempunyai idea dan nyala rasa bagi menjadikan Singapura tempat yang lebih baik,” kata Encik Wong di acara yang dihadiri lebih 1,000 belia itu.
Penubuhan piagam belia itu telah diumumkan oleh PA pada September 2024 di bawah pelan Masyarakat 2030 yang bertujuan menggalak penduduk menyumbang lebih banyak kepada masyarakat mereka.
Dalam kenyataannya, PA berkata piagam belia itu menyatukan idea-idea utama yang dikumpul daripada 127,000 saranan, maklum balas dan pandangan daripada belia berusia 15 hingga 35 tahun yang diterima semasa sesi perbincangan dan acara masyarakat yang dianjurkan PAYM.
Pendampingan 15 bulan itu diadakan untuk mendengar keprihatinan belia berhubung isu yang dekat dengan hati mereka, aspirasi dan impian mereka, serta bagaimana mereka boleh membantu mengubah idea mereka menjadi kenyataan.
Ia antara lain melibatkan pelajar, relawan dan aktivis masyarakat dan pertubuhan berasaskan agama, serta kumpulan persatuan sivil.
Belia kurang upaya dan belia dalam pusat reformatif juga terlibat sama.
Encik Wong berkata pelancaran piagam belia itu adalah permulaan komitmen yang dikongsi untuk membentuk masa depan Singapura bersama.
Beliau menambah Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Majlis Belia Kebangsaan sedang merancang untuk bekerjasama dengan lebih ramai belia bagi membangunkan rancangan yang lebih luas.
Menurut Encik Wong, kelangsungan hidup Singapura tidak pernah terjamin sejak awal, tetapi ia telah mengatasi kesukaran dan halangan yang besar.
Negara ini kini mesti bersedia untuk perjalanan yang lebih sukar di hadapan, katanya.
“Memandang ke hadapan sekarang, dalam fasa kita yang seterusnya, kita boleh melihat awan gelap di ufuk. Kita boleh menjangkakan cuaca ribut di dunia di sekeliling kita,” kata Encik Wong.
Namun beliau menambah Singapura boleh berasa yakin dengan masa depannya kerana ia telah mengatasi masa sukar seperti pandemik Covid-19.
Ia kini mempunyai asas yang lebih kukuh, dan pelan hala tuju yang lebih jelas melalui Melakar Hala Tuju Singapura – agenda yang disusun bersama dengan semua rakyat Singapura – dan ia telah menetapkan rancangan yang jelas dalam Belanjawan 2025.
Sedang pemerintah akan melakukan bahagiannya untuk menjamin masa depan Singapura, ia memerlukan sokongan warga untuk menulis babak seterusnya, tambah Encik Wong.
“Jadi kepada semua anak muda kita, saya katakan, masa depan Singapura bukan sekadar sesuatu yang anda warisi; ia adalah sesuatu yang anda akan cipta melalui setiap tindakan yang anda lakukan, mulai hari ini,” katanya.
“
“Jadi kepada semua anak muda kita, saya katakan, masa depan Singapura bukan sekadar sesuatu yang anda warisi; ia adalah sesuatu yang anda akan cipta melalui setiap tindakan yang anda lakukan, mulai hari ini.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg