PM Wong: Lebih sokongan untuk bangunkan keluarga kukuh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Lebih sokongan untuk bangunkan keluarga kukuh

PM Wong dalam Amanat Tahun Baru Cina turut berkata sambutan serentak CNY, permulaan Ramadan peringatan keindahan S’pura yang berbilang budaya
Feb 16, 2026 | 3:00 AM

PM Wong: Lebih sokongan untuk bangunkan keluarga kukuh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Amanat Tahun Baru Cina, PM Wong, ikatan keluarga
Dalam Amanat Tahun Baru Cina yang disampaikan pada 16 Februari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menekankan tentang keluarga sebagai tunjang utama kekuatan masyarakat, dan komitmen pemerintah untuk terus menjadikan usaha menyokong keluarga satu keutamaan. - Foto MDDI

Keluarga merupakan tunjang masyarakat dan apabila keluarga dijaga dengan baik, ikatan yang menyatukan masyarakat juga akan diperkukuh, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Amanat Tahun Baru Cina yang disampaikan pada 16 Februari.

Ini juga bermakna apabila keluarga di sini kukuh, Singapura juga akan menjadi teguh.

Oleh itu, usaha menyokong keluarga kekal sebagai satu keutamaan penting bagi pemerintah, dengan tumpuan pada ibu bapa dengan anak kecil dan warga emas demi memastikan mereka mempunyai sumber yang diperlukan, kata beliau.

“(Tahun Baru Cina) meraikan tradisi dan warisan kita, namun yang paling utama adalah keluarga.

“Ia adalah masa bagi setiap generasi untuk mengeratkan semula hubungan dan memperbaharui ikatan yang paling bermakna,” ujar Encik Wong.

Tambahnya, Tahun Baru Cina kali ini juga amat bermakna kerana masyarakat Islam juga akan meraikan ketibaan bulan mulia Ramadan.

Pertemuan dua sambutan ini mempamerkan keindahan masyarakat berbilang budaya di Singapura, sebuah masyarakat di mana budaya, tradisi dan kepercayaan yang berbeza hidup bersama dalam suasana saling menghormati, kata Encik Wong.

Namun tambahnya, keharmonian ini tidak berlaku secara kebetulan. Sebaliknya, ia dibina dengan kesabaran melalui rasa saling menghormati, kepercayaan dan persefahaman.

“Kita harus terus mempertahan nilai ini dan mewariskannya kepada generasi seterusnya.

“Keharmonian kita mesti diperbaharui secara aktif dan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang sudah terjamin.

“Setiap generasi mempunyai tanggungjawab untuk memperkukuhnya,”ujar Encik Wong.

Dengan zodiak ‘Kuda Api’ melambangkan daya tahan dan kekuatan semangat, beliau menyeru rakyat Singapura menghadapi tahun ini dengan yakin demi mengubah cabaran menjadi peluang.

Ini lebih-lebih lagi di tengah-tengah arus geopolitik yang sedang berubah dan teknologi pula mencorak semula kehidupan orang ramai.

Melangkah masuk ke Tahun Kuda, Encik Wong dalam amanatnya itu menyatakan komitmen pemerintah untuk memberikan jaminan dan sokongan yang lebih besar kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil.

Belanjawan 2026 membentangkan langkah-langkah lanjut, termasuk baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) $500 bagi setiap isi rumah pada Januari 2027 hingga ke Kredit LifeSG Anak $500 bagi setiap kanak-kanak warga Singapura berusia 12 tahun ke bawah, yang dijangka diagihkan menjelang Julai 2026.

Selain itu, pemerintah akan menjadikan prasekolah lebih dimampui dan mudah diakses, di samping membantu ibu bapa mengharungi cabaran baru termasuk membimbing anak-anak dalam penggunaan teknologi.

“Matlamat kami jelas: untuk memberi setiap anak permulaan yang baik dalam kehidupan dan untuk menyokong keluarga di setiap peringkat perjalanan mereka,” kata beliau.

Pada masa yang sama, tumpuan juga diberikan kepada golongan warga emas agar mereka dapat meniti usia senja dengan bermaruah dan bermakna.

Ini termasuk melalui inisiatif Age Well SG yang membentuk semula kawasan kejiranan supaya warga senja boleh terus hidup berdikari dan kekal terhubung dengan masyarakat, selain usaha rekaan semula pekerjaan dan sokongan untuk memperbaharui kemahiran bagi warga emas yang ingin terus menyumbang.

Selain itu, pemerintah juga sedang memperkukuh sokongan persaraan supaya rakyat Singapura boleh menikmati ketenangan fikiran pada usia senja.

Sedang usaha dijalankan untuk menjaga keluarga demi memperkukuh masyarakat, Encik Wong berkata semangat yang sama ini harus dilanjutkan melangkaui “rumah kita hinggalah kepada jiran dan masyarakat kita”.

Beliau melahirkan rasa terdorong melihat lebih ramai rakyat Singapura, terutamanya belia, melakukan kerja sukarela dan memperjuang isu yang dekat di hati mereka, sambil menambah pemerintah akan terus menyokong dan menggalak mereka.

“Bersama, kita boleh membina sebuah masyarakat yang menjaga satu sama lain, dan bertindak dengan rasa tanggungjawab kolektif yang kukuh,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg