Pemerintah akan terus bekerjasama rapat dengan masyarakat Melayu/Islam untuk menyokong madrasah dan mempertingkat keupayaannya sedang madrasah terus memainkan penting dalam landskap pendidikan Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Madrasah, katanya, bantu memupuk pemimpin masyarakat dan asatizah masa depan sambil menyumbang dengan bermakna kepada masyarakat lebih luas.
Encik Wong juga berkata bahawa dengan adanya Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang akan datang, pemerintah akan membina asas kuat ini dengan menawarkan lulusan madrasah Singapura peluang menceburi pendidikan Islam pada peringkat pengajian tinggi di Singapura.
“Ini merupakan langkah penting untuk memastikan ketersambungan, kecemerlangan, dan kerelevanan biasiswa Islam di Singapura,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran Facebook pada 10 April setelah berkunjung ke Madrasah Aljunied Al-Islamiah untuk bertemu serta berinteraksi dengan pelajar dan tenaga pengajar madrasah tersebut.
Encik Wong turut menukil bagaimana Madrasah Aljunied Al-Islamiah, yang ditubuhkan pada 1927, merupakan contoh baik pendidikan Islam.
“Sepanjang dekad-dekad lalu, ia telah menyambut pelajar dari serata Singapura dan rantau ini, meraih tempatnya sebagai obor pendidikan Islam.
“Antara alumni terkenalnya ialah ramai pemimpin yang dihormati, termasuk Mufti Singapura sekarang, Dr Nazirudin Mohd Nasir, dan Presiden Mahkamah Syariah, Ustaz Irwan Hadi,” ujarnya.
SCIS dijangka mula menerima kohort pertama seramai 60 pelajar pada 2028.
Ia akan dibentuk oleh lulusan madrasah tempatan atau pelajar yang memenuhi kriteria kemasukan seperti keupayaan memahami bahasa Arab serta pemahaman asas pengajian Islam.
Menyediakan dua haluan – pengajian Islam atau sains kemasyarakatan – ia bertujuan memberi asatizah masa kini dan akan datang kemahiran dalam pelbagai bidang sedang isu yang dihadapi melibatkan pelbagai dimensi.
Kolej yang terletak di Bencoolen Street itu akan bekerjasama dengan institusi tempatan dan antarabangsa yang mapan untuk menyampaikan programnya.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sedang bekerjasama dengan rakan institusi luar negara untuk membolehkan lulusan SCIS melanjutkan pengajian ke peringkat possiswazah di institusi tersebut.
SCIS sedang dalam proses menjalin Memorandum Persefahaman (MOU) dengan SUSS, Dar al-Ifta, Universiti Jordan dan Universiti Al-Qarawiyyin bagi memastikan kurikulum kukuh dan relevan.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Muis berkata satu semakan perundangan sedang dirancang untuk memperkukuh tadbir urus SCIS.
Semakan itu bertujuan mewujudkan rangka kerja perundangan kukuh yang akan menyokong operasi kolej tersebut dan memastikan kemampanan jangka panjangnya.
Lembaga pengelola SCIS akan dipengerusikan mantan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi, yang juga mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Lembaga pengelola itu akan meneliti perihal gaji, kos, yuran dan urusan pentadbiran lain yang diperlukan dalam mengendalikan sebuah kolej.
Pengajian agama di SCIS akan disokong sepenuhnya oleh masyarakat Melayu/Islam Singapura, dengan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) sebagai sumber dana utamanya.
Panel penasihat kolej itu – dipengerusikan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad – akan bersidang buat kali pertama pada Jun sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) di sini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg