Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Mandat kukuh GE2025 tingkatkan kedudukan S’pura

Ramai pemimpin dunia ucap tahniah kepadanya, bukti mereka beri perhatian teliti pada pilihan raya lalu
May 28, 2025 | 7:21 PM
PM Wong, Sidang Kemuncak Asean Ke-46
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata ramai pemimpin telah mengucapkan tahniah kepada beliau atas kemenangan dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), yang menunjukkan bahawa mereka telah memberi perhatian teliti kepada pilihan raya tersebut. - Foto ST

Mandat Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang kukuh dan jelas daripada rakyat Singapura telah memberi para pemimpin negara ini keupayaan berurusan dengan rakan sejawat asing mereka dengan penuh keyakinan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 27 Mei.

Bercakap kepada wartawan Singapura di akhir Sidang Kemuncak Asean Ke-46 dan pertemuan dengan para pemimpin negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China di Kuala Lumpur, Encik Wong berkata ramai pemimpin telah mengucapkan tahniah kepada beliau atas kemenangan dalam pilihan raya lalu, yang menunjukkan bahawa mereka telah memberi perhatian teliti kepada pilihan raya tersebut.

“Mereka mengikuti pilihan raya kita, dan mereka mengambil tahu tentang keputusannya,” kata Encik Wong.

Semasa pembukaan sidang kemuncak tersebut, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada Encik Wong atas apa yang beliau sifatkan sebagai “kemenangan meyakinkan” pada GE2025, dengan PAP memperoleh 65.57 peratus undi popular, lapor The Straits Times (ST). 

Sekiranya beliau dipilih semula dengan mandat yang berkurangan, persepsi pemimpin luar negara terhadap Singapura mungkin berbeza, tambah Encik Wong.

Menjawab soalan tentang bagaimana keputusan GE2025 telah membantu Singapura dalam menjalankan dasar luar pada sidang puncak Asean – mesyuarat berbilang hala utama pertama sejak pilihan raya tersebut – Encik Wong berkata para pemimpin asing akan membuat “penilaian semula dalaman mereka sendiri” jika Parti Tindakan Rakyat (PAP) kembali memerintah dengan mandat yang berkurangan.

Walaupun rakan sejawatan beliau akan bersikap sopan, mereka mungkin akan lebih berkira dalam berurusan dengan beliau, ujar Encik Wong.

“Adakah berbaloi untuk berurusan dengan individu ini? Mungkin saya perlu tunggu dan lihat. Mungkin kita tidak perlu segera mendekatinya, atau pertimbangkan tindakan susulan yang agresif buat masa ini.

“Dan kemudian, mungkin kita boleh fikirkan semula nanti,” katanya.

“Jadi, saya pasti perkara ini boleh berlaku jika kita mempunyai keputusan pilihan raya yang berbeza.”

Menurut Encik Wong, disebabkan mandat jelas yang diberikan oleh rakyat Singapura kepada beliau dan pasukannya, Singapura dapat berurusan dengan rakan sejawatnya dengan penuh keyakinan.

Beliau akan memanfaatkan mandat tersebut sepanjang penggal pemerintahan untuk memajukan dan memperkukuh kedudukan Singapura dalam dunia yang telah berubah, tambah Encik Wong.

“Kami pasti akan melakukan yang terbaik dalam usaha ini,” katanya.

Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur itu turut menghasilkan satu pelan tindakan baru untuk masa depan blok tersebut, dengan menerima kenyataan visi Asean 2045.

Para pemimpin tersebut telah menandatangani ‘Pengisytiharan Kuala Lumpur 2045: Masa Depan Bersama Kita’ pada 26 Mei.

Encik Wong berkata Singapura telah terlibat secara aktif dalam perbincangan yang membawa kepada penerimaan kenyataan tersebut.

Beliau menekankan pentingnya melaksanakan visi tersebut dengan tindakan konkrit.

Encik Wong menegaskan bahawa penyepaduan dan kerjasama Asean yang lebih erat akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk perniagaan Singapura, terutama dalam pasaran yang mungkin kurang dikenali.

“Apa sahaja yang kita lakukan, kita ingin rakyat Singapura meraih manfaatnya,” tambah Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg