Singapura mengambil pendekatan di mana ia terus belajar, menyesuaikan diri dan berinovasi selaras dengan perubahan keadaan semasa, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 15 Jun.

Bahkan, sejak awal lagi, negara ini berfungsi dengan berpandukan pragmatisme, dan bukan ideologi.

Encik Wong berkata perkara ini amat penting memandangkan bandar-bandar seperti Singapura sering menjadi antara yang terawal untuk merasai kesan perubahan global, termasuk peralihan teknologi dan ketegangan geopolitik.

Menyampaikan ucapan khas di Sidang Puncak Bandar Sedunia 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, Encik Wong berkata:

“Ketegangan geopolitik semakin memuncak, dan pada masa yang sama, dunia menjadi kian berpecah-belah serta terpolarisasi... Apabila dunia berdepan tekanan dan ketidaktentuan, bandar-bandar sering menjadi pihak yang pertama merasai kesannya.

“Namun begitu, bandar-bandar juga merupakan antara harapan terbaik kita dalam mencari penyelesaian kepada cabaran ini. Apabila keadaan berubah, kita terus belajar, menyesuaikan diri, dan berinovasi.”

Beliau menambah bahawa pemerintah mungkin tidak sentiasa sehaluan dalam setiap isu geopolitik, namun bandar-bandar masih boleh mencari titik persamaan, saling bertukar idea praktikal, serta belajar daripada pengalaman satu sama lain.

Dalam ucapannya itu, Encik Wong menggariskan tiga perkara utama bagi menggambarkan pendekatan pragmatik yang diambil Singapura.

Pertama, meskipun Singapura memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi, pemerintah mengiktiraf bahawa Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) semata-mata bukan ukuran sebenar mutu hidup yang baik.

Justeru, Singapura melindungi warisan semula jadi dan budayanya di samping memperuntukkan tanah bernilai tinggi untuk ruang seumpama itu – seperti Taman di Pesisiran dan Rail Corridor – walaupun Singapura sebuah bandar kecil dengan kawasan tanah yang terhad.

“Dalam kededua kes tersebut, kita lihat lebih jauh daripada pertimbangan komersial semata-mata dan mengambil pandangan yang lebih luas tentang perkara itu.

“Sebaliknya, kita memilih untuk mewujudkan ruang awam yang meningkatkan mutu hidup, memperkukuh hubungan kita dengan alam semula jadi, dan dapat dinikmati oleh generasi rakyat Singapura akan datang,” ujar Encik Wong.

Kedua, beliau menambah walaupun pemerintah percaya kepada keupayaan pasaran untuk mengagihkan sumber secara cekap, pemerintah juga memainkan peranan yang lebih aktif dalam mencapai hasil yang diinginkan.

Encik Wong merujuk kepada model perumahan yang diterajui negara ini, di mana kira-kira lapan daripada sepuluh rakyat Singapura menetap di flat awam.

“Kami juga memastikan estet perumahan awam mempunyai campuran penduduk yang inklusif, dengan rakyat Singapura daripada pelbagai kaum dan latar belakang tinggal bersebelahan di setiap blok dan setiap kawasan.

“Ini kerana kami percaya bahawa rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi juga tempat masyarakat dibina, di mana jiran membentuk hubungan yang berkekalan dan jalinan sosial sesebuah bandar terbentuk merentas generasi,” kata Encik Wong.

Ketiga, meskipun Singapura sering dikaitkan dengan perancangan negara yang aktif, negara ini turut menitikberatkan kerjasama dan penyertaan masyarakat.

Merujuk kepada Kejiranan Sihat Menua, atau Age Well Neighbourhoods, Encik Wong berkata inisiatif tersebut “memerlukan jalinan kerjasama yang erat dengan penyedia perkhidmatan kesihatan, organisasi komuniti, penjaga, dan sukarelawan, supaya kita dapat membina rangkaian sosial yang luas”.

Beliau berkata bahawa ketiga-tiga contoh tersebut menunjukkan bagaimana Singapura tidak mengandaikan bahawa jalan penyelesaian hari lalu akan sentiasa berkesan pada masa hadapan.

Di samping itu, Encik Wong turut mengumumkan dua inisiatif baharu iaitu Siri Penceramah Terhormat Liu Thai Ker dan Program Fellowship Datuk Bandar.

Sesi sulung siri penceramah anjuran Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) itu dinamakan sempena mendiang arkitek dan perancang bandar yang pernah mengetuai kededua agensi tersebut itu akan diadakan pada penghujung 2026.

Program Fellowship Datuk Bandar yang baharu pula akan dilancarkan bagi menghimpunkan datuk bandar semasa dan bekas datuk bandar dari seluruh dunia untuk berhubung serta bertukar idea.

Kumpulan perintis terdiri daripada datuk bandar Agra, India, Cik Hemlata Diwakar; datuk bandar Bucharest, Romania, Encik Ciprian Ciucu; datuk bandar Kigali, Rwanda, Encik Samuel Dusengiyumva; dan datuk bandar Tshwane, South Africa, Cik Nasiphi Moya.

Kami juga memastikan bahawa estet perumahan awam mempunyai campuran penduduk yang inklusif, dengan rakyat Singapura daripada pelbagai kaum dan latar belakang tinggal bersebelahan di setiap blok dan setiap kawasan. Ini kerana kami percaya bahawa rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi juga tempat masyarakat dibina, di mana jiran-jiran membentuk hubungan yang berkekalan dan jalinan sosial sesebuah bandar terbentuk merentas generasi.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.