Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menerima kunjungan Menteri Pertahanan China, Laksamana (ADM) Dong Jun, di Istana pada 31 Mei, sebagai sebahagian daripada lawatan pengenalannya ke Singapura.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef), Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, dan ADM Dong telah mengesahkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin dan mesra antara Singapura dengan China semasa pertemuan tersebut.
“Mereka mengalu-alukan interaksi berterusan antara badan-badan pertahanan, termasuk lawatan peringkat tinggi, interaksi tentera-ke-tentera, dan pertukaran akademik.
“PM Wong dan ADM Dong juga bertukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan sejagat dan serantau, serta membincangkan cara mengukuhkan kerjasama dan membina kepercayaan bersama di rantau ini,” kata Mindef.
Turut hadir semasa mesyuarat itu ialah Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How.
ADM Dong sedang membuat lawatan pengenalan empat harinya ke Singapura dari 30 Mei dan akan turut menghadiri Dialog Shangri-La ke-21.
Singapura merupakan tuan rumah bagi Dialog Shangri-La ke-21 dari 31 Mei hingga 2 Jun.
Edisi pada 2024, anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS), akan menyaksikan kehadiran 45 negara dengan 49 delegasi peringkat Menteri dan lebih daripada 40 pegawai kanan pertahanan termasuk Panglima Angkatan Pertahanan, serta ahli akademik terkemuka.
Encik Wong juga bertemu Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd J. Austin III, yang juga kini berada di Singapura untuk menghadiri Dialog Shangri-La.
Semasa pertemuan itu, Encik Wong dan Encik Austin mengesahkan hubungan pertahanan dua hala yang sangat baik dan telah lama terjalin antara Singapura dengan Amerika, dan membincangkan inisiatif pertahanan dua hala yang berterusan.
“Mereka saling bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik dan prasarana keselamatan serantau, dan mengulangi komitmen bersama terhadap kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.
“Encik Austin turut mengesahkan sokongan berterusan Amerika untuk latihan Angkatan Bersenjata Singapura di Amerika, dan Encik Wong mengesahkan sokongan Singapura yang berterusan sejak dahulu bagi kehadiran Amerika di rantau ini,” kata Mindef.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg