Negara-negara harus bersatu dan mencari jalan ke hadapan sendiri, meskipun jika Amerika Syarikat tidak terlibat dalam perbincangan atau memilih untuk tidak terlibat, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Beliau berkata demikian di akhir lawatannya ke Afrika, di mana beliau menghadiri Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) yang tidak disertai Presiden Amerika, Encik Donald Trump.
Namun begitu, keutamaan Singapura masih agar Amerika terlibat secara aktif dalam perbincangan untuk membentuk hala tuju hal ehwal global, kata beliau, sambil menambah bahawa Amerika boleh menyertai “pada bila-bila masa” apabila ia bersedia.
Walaupun dunia semakin berpolarisasi, tidak semuanya adalah sama, kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.
“Buat masa ini, Amerika masih (kuasa) yang terbesar, dan sudah tentu kepimpinan Amerika adalah penting dalam menyediakan rangka kerja global untuk dunia,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media Singapura di Addis Ababa, Habsyah di akhir satu lawatan rasmi menyusuli lawatannya ke Johannesburg, Afrika Selatan untuk Sidang Puncak G20.
Encik Trump telah memboikot sidang puncak itu atas dakwaan yang telah disangkal secara meluas bahawa Afrika Selatan menindas golongan minoriti kulit putih Afrikaner, dengan sidang puncak bersejarah yang diadakan di Afrika buat kali pertama itu kadangkala dibayangi oleh ketidakhadirannya.
Amerika dijadual mempengerusikan G20 pada 2026.
Walaupun terdapat ketegangan, sidang puncak G20 merupakan satu “kejayaan yang luar biasa”, kata Encik Wong, sambil menambah bahawa platform sedemikian memainkan peranan penting dalam menyatukan dan melibatkan negara-negara.
Encik Wong berkata beliau gembira kerana walaupun terdapat perbezaan, semua negara yang hadir telah bersatu untuk mengeluarkan deklarasi di Johannesburg. Terdapat beberapa kata sepakat tentang hala tuju ke hadapan, dan itu menjadikan “hasil yang sangat bermanfaat”, kata beliau.
Para pemimpin kumpulan itu telah menerima pakai deklarasi sidang puncak di permulaan mesyuarat pada 22 November, dengan Presiden Afrika Selatan, Encik Cyril Ramaphosa, berkata pada masa itu bahawa terdapat “kata sepakat dan persetujuan yang besar” untuk berbuat demikian.
Di mesyuarat G20 dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik tahun ini, Encik Wong telah merayu kepada para pemimpin dunia untuk menjalankan reformasi terhadap Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO).
Ditanya mengenai perkara itu, beliau berkata salah satu caranya adalah melalui institusi seperti WTO, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) atau Bank Dunia.
Namun dalam hal perdagangan, usaha selari yang lain adalah melalui inisiatif plurilateral dan minilateral, kata Encik Wong.
Plurilateral dan minilateral merujuk kepada kumpulan negara yang lebih kecil, berbanding inisiatif multilateral tradisional yang berskala besar.
Usaha ini datang di tengah-tengah pengakuan umum dalam kalangan pemimpin dunia di G20 bahawa seni bina ekonomi dan kewangan global perlu disegarkan semula – khususnya WTO yang dimanfaatkan berdasarkan kecekapan perdagangan dan bukan realiti strategik masa kini, kata Encik Wong.
Beliau mengakui bahawa langkah penyegaran WTO, yang merupakan tugas yang kompleks, akan menjadi lebih sukar tanpa penglibatan Amerika.
Tetapi negara-negara lain tidak seharusnya berputus asa dan masih harus terus berusaha melalui saluran lain, kata beliau.
Beliau memberi contoh seperti Perkongsian Masa Depan Pelaburan dan Perdagangan (FIT), yang dimulakan Singapura dengan negara-negara lain yang berfikiran serupa untuk menyatukan ekonomi kecil dan sederhana bagi menyokong perdagangan yang adil dan terbuka.
Usaha selari itu bukan sekadar menggalakkan aliran perdagangan, tetapi merupakan cara di mana negara-negara yang berfikiran serupa dapat memikirkan bagaimana peraturan dan rangka kerja baru dapat dibangunkan antara mereka sendiri, kata Encik Wong.
“Akhirnya, jika ia berjaya, ia dapat menyediakan asas untuk negara-negara lain menyertai dan menjadi sebahagian daripada platform ini dan untuk kami memperluas peraturan secara menyeluruh sebagai sebahagian daripada peraturan WTO,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg