Singapura akan menubuhkan sebuah kedutaan di ibu kota Habsyah, Addis Ababa, ketika kedua-dua negara memperkukuh kerjasama bagi menghubungkan rantau masing-masing.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan perkara ini pada 24 November semasa lawatan sulungnya ke benua Afrika.
“Sebagai hab di rantau masing-masing, Singapura dan Habsyah berupaya memacu aliran perdagangan dan pelaburan antara Asia Tenggara dengan Afrika,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Habsyah, Dr Abiy Ahmed Ali, di Istana Negara Habsyah.
Misi Habsyah itu akan menjadi kedutaan pertama Singapura di Afrika Timur dan yang ketiga di benua tersebut selain di Mesir dan Afrika Selatan, lapor The Straits Times (ST).
Singapura juga mempunyai konsulat kehormat di Maghribi dan Nigeria.
Menurut Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, kedutaan baru itu, yang dijangka siap menjelang 2027, adalah bukti komitmen Republik ini terhadap hubungan dua halanya bersama Habsyah serta keyakinan Singapura terhadap kepentingan strategik dan potensi negara itu.
Penubuhan kedutaan itu juga membolehkan Singapura mengukuhkan hubungan dengan Afrika secara keseluruhannya, memandangkan Kesatuan Afrika beribu pejabat di Addis Ababa.
Dalam pada itu, Encik Wong dan Dr Abiy turut menyaksikan perasmian dua perjanjian bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam pembangunan kemahiran dan kredit karbon.
Di bawah perjanjian pertama, Singapura akan melancarkan pakej bantuan teknikal baru yang menawarkan biasiswa pascasiswazah serta program pendidikan eksekutif untuk pegawai kanan Afrika di universiti Singapura.
Setakat ini, lebih 13,000 pegawai Afrika, termasuk 300 dari Habsyah, telah mengikuti latihan di Singapura di bawah inisiatif seperti Program Kerjasama Singapura dan Pakej Perkongsian Singapura-Afrika.
“Melalui inisiatif ini, Singapura berharap dapat memberi sumbangan kecil tetapi bermakna kepada pertumbuhan mampan di Afrika,” kata Encik Wong.
Perjanjian kedua akan menyaksikan kedua-dua negara meneroka kerjasama dalam pasaran karbon.
Ini termasuk pertukaran amalan dan pengetahuan terbaik mengenai mekanisme pasaran karbon, serta kolaborasi masa hadapan mengenai inisiatif bagi menyokong pembangunan pasaran karbon berintegriti tinggi.
Encik Wong menyatakan bahawa lawatan rasmi Dr Abiy ke Singapura pada Jun 2024 sempena 55 tahun hubungan diplomatik negara mereka telah menyuntik momentum positif dalam hubungan itu, dan kedua-dua pihak meneruskan trajektori positif itu.
“Perdana Menteri Abiy dan saya bersetuju bahawa masih banyak lagi ruang untuk Singapura dan Habsyah bekerjasama.
“Potensi untuk mengembangkan hubungan dua hala adalah jelas,” kata Encik Wong.
Dr Abiy turut melahirkan penghargaan kepada Encik Wong kerana menunaikan janji untuk mengunjungi Habsyah.
Beliau berkata, ini adalah masa yang tepat bagi setiap negara yang telah maju untuk “mengalihkan perhatian kepada Afrika” sebagai sebuah benua besar yang mempunyai potensi besar.
“Jadi dari sudut ini, keputusan anda untuk datang dan mengunjungi Habsyah selepas enam dekad amat bermakna, dan ia satu keputusan yang baik,” kata beliau.
Encik Wong pula menambah bahawa Singapura melihat Habsyah sebagai sebuah tamadun purba dengan sejarah yang panjang, masyarakat berbilang budaya, serta potensi besar untuk terus berkembang.
Dr Abiy telah menyambut ketibaan Encik Wong di lapangan terbang pada 22 November dan memberikan sambutan rasmi keesokan harinya, di mana lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum Encik Wong memeriksa barisan kawalan kehormat.
Lawatan rasmi terakhir oleh seorang perdana menteri Singapura ke negara itu adalah pada 1964, yang dilakukan oleh mantan Perdana Menteri, mendiang Encik Lee Kuan Yew.
Mengiringi Encik Wong dalam lawatan ini adalah Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang; serta Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg