Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Nilai meritokrasi, berbilang bangsa kekal walau S’pura tetapkan semula dasar

Tidak akan kompromi nilai asas; perlu bincang lebih mendalam sebelum bentuk dasar baru atau pertahan dasar lama
Aug 23, 2024 | 8:15 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong memberi keyakinan pemerintah akan memastikan adanya Belanjawan untuk memenuhi keperluan bagi inisiatif baru yang diumumkan semasa Rapat Hari Kebangsaan.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong memberi keyakinan pemerintah akan memastikan adanya Belanjawan untuk memenuhi keperluan bagi inisiatif baru yang diumumkan semasa Rapat Hari Kebangsaan. - Foto ZAOBAO

Singapura tidak akan mengabaikan nilai dan prinsip utama berbilang bangsa, meritokrasi dan amanah walaupun dalam usahanya untuk menetapkan semula dasar negara, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong. 

Beliau menekankan ketiga-tiganya merupakan prinsip asas yang tidak boleh dikompromi. 

Namun, bagaimana prinsip itu dimanifestasikan dalam dasar baru atau apakah cara terbaik untuk dipertahankan, ia memerlukan perbincangan lebih mendalam.

Demikian dinyatakan oleh Encik Wong dalam satu sidang media pada 23 Ogos, yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri keempat Singapura. 

“Prinsip asas dan nilai ini (yang disebutkan tadi) tidak boleh dikompromi.

“Tetapi bagaimana prinsip ini dimanifestasikan dalam dasar? Anda harus mengadakan perbahasan untuk menentukan adakah ini cara terbaik dalam menegakkan nilai berbilang bangsa atau meritokrasi…

“Jadi ia membezakan antara prinsip dengan nilai utama, berbanding dengan manifestasinya (prinsip dan nilai itu) dalam dasar, dan kami akan sentiasa bersedia untuk menyemak andaian kami untuk melihat apakah yang lebih berkesan,” kata beliau. 

Menurut Encik Wong, beliau harus mengimbangi keadaan, dalam mengorak langkah lebih berani untuk masa depan, namun pada masa yang sama, menghormati yang lama.

Tetapi Singapura harus terus berpegang kepada asas yang masih relevan pada hari ini, tekan beliau. 

Dalam Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pertama beliau pada 18 Ogos, Encik Wong mengatakan yang pasukannya akan menghormati masa lalu Singapura dengan mempertahankan asas yang telah membolehkan negara ini berjaya.

Bagaimanapun, pasukannya juga harus berani dan mencari huraian lebih baik demi membawa negara ini ke hadapan. 

Dalam hal ini, beliau berkata nilai dan asas seperti kebergantungan diri, berbilang budaya dan tumpuan terhadap keluarga akan terus dikekalkan pasukannya. 

Satu contoh paling jelas yang menggambarkan usaha itu ialah Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture yang menawarkan faedah kepada pekerja yang menganggur. 

“Ia adalah sesuatu yang pemerintah selama ini, selama berdekad-dekad telah meraguinya. 

“Ini atas sebab-sebab yang munasabah, kerana kita telah melihat bagaimana insurans pengangguran di negara lain telah mengakibatkan kesan negatif. 

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita tidak boleh melakukan sesuatu yang berlainan di Singapura, yang direka bersesuaian mengikut keadaan kita dan direka baik untuk mengurangkan kesan negatif yang kita lihat di negara lain,” ujar Encik Wong. 

Di bawah Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture, pekerja berpendapatan rendah dan sederhana yang terjejas boleh mendapat sokongan sehingga $6,000 secara keseluruhan selama tempoh sehingga enam bulan.

Namun, mereka juga perlu memainkan peranan dengan menjalani latihan, menyertai sesi bimbingan kerjaya dan khidmat pemadanan kerja demi memastikan mereka dapat mencari peluang pekerjaan lebih baik.

Menurut Encik Wong, skim itu telah membolehkan Singapura mencari keseimbangan yang betul dengan melakukan sesuatu yang berbeza dan baru. 

“Tetapi pada masa yang sama, meletakkan syarat yang sesuai yang juga memerlukan individu untuk melaksanakan peranan mereka, (dengan) bekerja keras, mendapatkan bimbingan kerjaya, bagi mendapatkan latihan kemahiran dan pengurusan pekerjaan,” tambahnya. 

Mengenai bagaimana Belanjawan negara akan diselaraskan bagi menampung perbelanjaan tambahan, Encik Wong memberi keyakinan yang pemerintah akan berusaha mendapatkannya. 

Beliau akur bahawa banyak daya utama baru diumumkan akan memerlukan sumber tambahan.

“Kami akan memastikan bahawa... semua daya utama sosial baru ini yang memerlukan sumber tambahan akan dipenuhi dengan pendapatan yang mencukupi dengan cara yang mampan dari segi fiskal.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg