Parti Tindakan Rakyat (PAP) hanya boleh mentadbir parti dengan baik sekiranya setiap generasi memperbaharui parti itu dengan individu yang bersedia berkhidmat, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Beliau menambah, setiap generasi mesti membawa idea segar, tenaga baharu dan rasa tanggungjawab yang tinggi untuk memacu Singapura ke hadapan.

Pencapaian masa lalu tidak menjamin kejayaan masa depan, katanya lagi.

Encik Wong, yang juga merupakan Setiausaha Agung PAP, berkata demikian di Festival PAP Muda (YP) 40, yang menandakan ulang tahun ke-40 sayap muda PAP itu, pada 4 Julai.

Dalam ucaptamanya, Encik Wong turut menambah bahawa anggota belia PAP tidak semestinya perlu bersetuju dengan parti itu dalam setiap isu untuk membentuk masa depan Singapura.

Lebih penting lagi, parti itu memerlukan mereka yang berkongsi tekad yang sama, iaitu untuk membina sebuah Singapura yang lebih baik untuk semua rakyatnya, katanya.

“Kami tidak mahu semua orang di dalam PAP berfikir dengan cara yang sama.

“Penting bagi PAP untuk terus memperbaharui dirinya, dan terus mentadbir dengan baik demi jangka masa panjang.

“Kami mahukan individu yang mempunyai pelbagai pengalaman, perspektif dan idea untuk membantu kami menangani cabaran yang mendatang serta bertindak balas terhadapnya dengan berkesan,” kongsi Encik Wong.

Encik Wong berkata demikian kepada lebih 1,200 aktivis belia daripada PAP dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang menghadiri acara di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands itu.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata bahawa Parti Tindakan Rakyat (PAP) hanya boleh mentadbir parti dengan baik sekiranya setiap generasi memperbaharui parti itu dengan individu yang bersedia untuk berkhidmat.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata bahawa Parti Tindakan Rakyat (PAP) hanya boleh mentadbir parti dengan baik sekiranya setiap generasi memperbaharui parti itu dengan individu yang bersedia untuk berkhidmat. - Foto ST

Dalam pada itu, Encik Wong berkongsi bahawa beliau akur ada sebahagian golongan muda secara semula jadinya lebih tertarik kepada pihak yang bukan pilihan (underdog) berbanding sebuah parti politik yang sudah kukuh.

Namun, Encik Wong memberitahu kumpulan aktivis belia itu bahawa “persaingan sebenar yang kita hadapi bukanlah di dalam Singapura”, malah, dengan seluruh dunia.

“Anda mungkin lihat PAP dan berfikir: ini sudah pun menjadi sebuah parti yang besar dan mantap – ia tidak memerlukan saya. Namun, persaingan sebenar bukanlah di dalam Singapura.

“Persaingan sebenar adalah antara Singapura dengan dunia – kita sedang bersaing dengan negara yang mempunyai jumlah penduduk yang lebih besar, pasaran domestik yang lebih luas, serta sumber yang jauh lebih banyak,” kata Encik Wong yang menyifatkan Singapura sebagai underdog di arena itu.

PAP Muda merupakan sayap pemuda bagi parti pemerintah, yang bertujuan untuk menarik penglibatan warganegara berumur di bawah 40 tahun.

PAP Muda ditubuhkan pada 1986 dan pengerusi pertamanya ialah Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Matlamatnya ketika itu adalah untuk membawa sebahagian daripada generasi baharu pengundi ke dalam parti, dan memberi mereka suara dalam dasar negara.

Sejak 2025, PAP Muda dipengerusikan oleh Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan.

Sayap itu aktif mengumpul maklum balas daripada golongan belia, merangka kertas pendirian mengenai isu seperti perubahan iklim, dan memperjuangkan kempen kesihatan mental.

Sementara itu, festival tersebut turut menyaksikan PAP Muda melancarkan Akademi PAP Muda dan Program Fellowship Tindakan YP 40 Bawah 40, dua inisiatif yang bertujuan menjadi wadah bagi belia memacu idea dan membentuk pemimpin PAP masa hadapan.

Diperkenalkan oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, yang juga merupakan Timbalan Pengerusi PAP Muda, Akademi PAP Muda ialah sebuah wadah untuk mendekati dan menghubungkan pemimpin muda.

Ia akan dilaksanakan menerusi rangkaian kerja, bimbingan, serta program kepimpinan dengan kerjasama organisasi seperti Belia NTUC (NTUC Youth).

Penasihat PAP Muda, Cik Hazlina Abdul Halim, pula memperkenalkan Program Fellowship Tindakan YP 40 Bawah 40 yang akan menyokong aktivis PAP Muda menerusi bengkel di mana mereka boleh merealisasikan idea mereka.

Seramai 40 aktivis PAP Muda yang terpilih akan diberikan geran permulaan projek sebanyak $5,000 untuk merealisasikan rancangan mereka menjelang pertengahan 2027.