Singapura akan memperkukuh hubungan ekonomi dengan Timor-Leste, di samping meningkatkan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Langkah itu diumumkan selepas kedua-dua negara menandatangani satu perjanjian pada 3 Julai bagi mewujudkan rangka kerja untuk menggalak dan memperkukuh kerjasama dua hala.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Timor-Leste, Encik Xanana Gusmao, menyaksikan majlis penandatanganan dan pertukaran perjanjian itu di Istana Pemerintah di ibu negara, Dili, sebelum sidang media bersama diadakan.

Perjanjian baru itu akan membolehkan kementerian luar kedua-dua pihak mewujudkan sistem rundingan berkala bukan sekadar bagi membincangkan isu dua hala, malah turut membincangkan isu perkembangan serantau, antarabangsa dan strategik, kata Encik Wong dalam sidang media tersebut.

“Ini akan menyediakan platform untuk penyelarasan lebih erat antara kedua-dua pemerintah,” tambah beliau.

Encik Wong berada di Timor-Leste untuk lawatan dua hari, yang merupakan lawatan pertama dibuat oleh seorang perdana menteri Singapura.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura berkata kedua-dua pihak akan dapat menilai semula bidang kerjasama sedia ada, selain mengenal pasti bidang kerjasama baharu yang dapat membawa manfaat bersama.

Encik Wong mengetengahkan persamaan kedua-dua negara dari segi saiz, di samping keyakinan sama yang dipegang.

“Saiz kita tidak menentukan nasib kita, dan kita boleh mencorakkan masa depan sendiri menerusi keberanian, kerja keras serta perkongsian yang kukuh,” katanya merujuk kepada Singapura dan Timor Leste.

Rakan sejawatnya, Encik Gusmao, pula menyifatkan Singapura sebagai “sahabat dan rakan kongsi yang dipercayai” kerana sentiasa menyokong rakyat, institusi, serta usaha negara itu untuk menganggotai Asean.

Menurut Encik Gusmao, perbincangan pada 3 Julai itu bertujuan membincangkan cara membawa kerjasama berkenaan ke fasa baru, sambil menyatakan bahawa negaranya amat mengalu-alukan pelaburan dari Singapura.

Dari segi ekonomi, Encik Wong berkata Singapura kini merupakan antara pelabur terbesar negara berkenaan dan syarikat-syarikat itu sedang meneroka peluang dalam pelbagai sektor, daripada perdagangan borong sehingga tenaga boleh diperbaharui.

“Pelaburan ini mencerminkan minat dan keyakinan semakin meningkat terhadap masa depan Timor-Leste,” tambah beliau.

“Melalui kerjasama ini, kita boleh mencipta peluang perniagaan baru, menyokong kepelbagaian ekonomi, serta menjana pertumbuhan mampan yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.”

Encik Wong mengumumkan bahawa mulai 2027, Singapura akan membuka beberapa sektor dan pekerjaan terpilih bagi pekerja dari Timor-Leste, sekali gus mewujudkan “peluang baharu buat rakyat Timor-Leste di samping memperkukuh hubungan perniagaan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara”.

Timor-Leste akan dimasukkan ke dalam senarai pekerjaan sumber bukan tradisional (NTS) yang membolehkan syarikat Singapura dalam sektor seperti pembinaan dan limbungan kapal marin menggaji pemegang permit kerja.

Seorang jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata pihaknya telah melihat minat awal daripada syarikat di Singapura untuk menggajikan pekerja Timor-Leste, terutama dalam sektor pembinaan.

Langkah yang akan berkuat kuasa mulai separuh kedua 2027 itu bakal memberi syarikat setempat “akses kepada kumpulan tenaga kerja lebih luas dan pelbagai bagi memenuhi keperluan tenaga manusia mereka”.

Apabila ditanya mengenai manfaat langkah itu, Encik Gusmao berkata ia merupakan “tanda keyakinan terhadap rakyat Timor-Leste”.

Encik Wong turut menyentuh mengenai bidang kerjasama masa akan datang antara kedua-dua negara, termasuk dalam sektor penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Kementerian Kesihatan Timor-Leste berhasrat menandatangani satu perjanjian pada lewat Julai bagi mewujudkan rangka kerja luas bagi kerjasama dalam pembangunan tenaga kerja kesihatan, sistem latihan penjagaan kesihatan, keupayaan kesihatan awam, serta pengukuhan sistem kesihatan di Timor-Leste.

Kerjasama berkenaan dijangka dilaksanakan bagi tempoh lima tahun mulai Julai ini.

Encik Wong menambah, Singapura akan menyokong institut kebangsaan Timor-Leste bagi latihan guru dan karyawan pendidikan, dengan membantu membangunkan pemimpin sekolah yang akan “membantu mendidik serta mencorak generasi masa depan”.