Pemerintah sedang mengkaji kaedah untuk memberi lebih banyak bantuan kepada para penjaga dan golongan kurang upaya bagi membolehkan mereka merancang keperluan, matlamat dan aspirasi, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Ini termasuk menyesuaikan sokongan mengikut keadaan keluarga yang berubah.
Beliau, yang juga Menteri Kewangan, menambah bahawa pemerintah sedang meneroka laluan tambahan untuk menyokong graduan sekolah pendidikan khas (Sped) untuk melanjutkan pelajaran, di samping memudahkan peralihan lebih lancar ke dunia pekerjaan bagi mereka yang bersedia bekerja.
Kadar pekerjaan bagi orang kurang upaya meningkat daripada 28 peratus pada 2019 kepada 33 peratus pada 2024, kata Encik Wong, tetapi beliau berkata usaha boleh dipertingkat untuk menyokong kumpulan ini.
“Masih banyak yang boleh dilakukan, terutama untuk melibatkan majikan dan memperluas peluang pekerjaan. Ini supaya kita dapat meningkatkan lagi kadar pekerjaan kepada 40 peratus menjelang 2030.”
Encik Wong berkata demikian semasa berucap kepada hampir 300 hadirin di majlis jamuan makan malam yang diadakan sempena ulang tahun ke-60 Persatuan Cacat Anggota di di Hotel Pan Pacific Singapore pada 28 Oktober.
Turut hadir ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, dan Presiden SPD, Cik Ong Toon Hui.
Semasa berucap, Encik Wong turut melahirkan rasa prihatin terhadap cabaran yang dihadapi penjaga, terutama dalam konteks rakyat Singapura yang semakin menua dan keluarga yang semakin kecil.
Mentelah lagi cabaran yang dihadapi kumpulan ini, termasuk dalam mengimbangi usaha jagaan harian dan pada masa yang sama merancang untuk masa hadapan masing-masing.
Ini termasuk keperluan yang berubah seiring dengan usia mereka dan orang tersayang yang kurang upaya; kebimbangan mengenai masa depan apabila mereka tidak lagi dapat menjaga orang tersayang; serta kesukaran membahagikan beban penjagaan dalam keluarga yang semakin kecil.
Justeru, Encik Wong berharap kajian yang dilakukan akan membantu meringankan beban penjaga.
“Kami berharap ini akan mengurangkan tekanan emosi dan mental terhadap penjaga, dengan meyakinkan mereka bahawa orang tersayang mereka yang kurang upaya boleh terus hidup dengan baik dalam masyarakat, walaupun setelah mereka tidak lagi dapat menjaga mereka,” ujar beliau.
Encik Wong juga menekankan peri pentingya usaha menyeluruh dalam membina masyarakat yang inklusif.
“Masyarakat yang benar-benar inklusif tidak dapat dicapai oleh pemerintah dan pertubuhan masyarakat seperti SPD. Setiap orang mesti memainkan peranan.
“Hanya dengan lebih empati dan keprihatinan terhadap pengalaman hidup orang kurang upaya kita dapat maju sebagai masyarakat yang inklusif,” kata Encik Wong.
Sambil itu, Cik Ong juga mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan kepada pelopor dan pengasas dalam melestarikan usaha SPD sepanjang enam dekad sejak ia ditubuhkan.
Mengimbas sejarah SPD, beliau turut menegaskan bahawa misi pertubuhan tersebut tidak berubah, iaitu untuk “memperkasa orang kurang upaya dan memupuk sifat berdikari”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg