Rakyat Singapura akan mendapat bantuan untuk menangani kebimbangan kos sara hidup yang berterusan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam satu video di saluran YouTube beliau yang dimuat naik pada 2 Oktober.
Beliau turut mengakui bahawa isu kos sara hidup itu masih menjadi keprihatinan walaupun inflasi semakin reda.
“Saya dan pasukan saya akan melakukan segala yang kami mampu untuk membantu anda melalui tempoh sukar ini,” kata beliau dalam video itu.
Walaupun inflasi dijangka turun lagi pada 2024, ini tidak bermakna harga tidak akan pernah naik, tambah beliau.
“Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan perlu dilakukan dari masa ke masa. Menangguhkan penyesuaian sedemikian hanya akan memburukkan lagi keadaan pada masa hadapan.
“Tetapi jika peningkatan sedemikian diperlukan, kami akan mencari jalan untuk mengurangkan kesannya,” kata Encik Wong.
Beliau menambah bahawa dalam jangka panjang, kunci dalam mengurus kos sara hidup adalah dengan memastikan rakyat Singapura terus menikmati pekerjaan yang baik dengan gaji yang lebih baik.
“Dengan itu, pekerja kita akan dapat memperoleh gaji lebih tinggi, dengan gaji meningkat lebih tinggi daripada inflasi, dan keadaan kita semua boleh menjadi lebih baik,” kata beliau.
Membentangkan ramalan bagi 2024, Encik Wong berkata pertumbuhan ekonomi lebih tinggi yang dijangkakan dan inflasi lebih rendah menyumbang kepada unjuran yang menggalakkan.
Lebih ramai pekerja juga dijangka melihat peningkatan dalam pendapatan sebenar mereka, kata beliau.
Pemerintah juga sedang meneliti keadaan ekonomi pada 2025, kata Encik Wong.
Beliau menambah bahawa buat masa ini, inflasi dijangka terus reda ke paras rendah yang dilihat sebelum pandemik Covid-19, dengan pemerintah akan terus menggalak produktiviti dan inovasi merentas ekonomi.
Beliau menambah bahawa beliau akan mendedahkan lebih lanjut tentang rancangan pemerintah dalam Belanjawan 2025.
Beliau turut mengimbas kembali pengumuman dasar sebelum ini untuk menangani keprihatinan kos sara hidup.
Secara keseluruhan, lebih $10 bilion telah diperuntukkan untuk Pakej Jaminan bagi membantu mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup.
Pakej itu juga telah dipertingkatkan sebanyak tiga kali.
“Setakat tahun ini, setiap isi rumah Singapura telah menerima $800 dalam baucar CDC. Isi rumah di flat HDB telah menerima sehingga $400 dalam rebat utiliti,” tambah Encik Wong.
“Dan warga negara yang layak telah menerima sehingga $700 dalam pembayaran tunai.”
Lebih banyak bantuan juga akan dihulurkan dalam beberapa bulan akan datang, kata beliau.
Ini termasuk lebih banyak rebat utiliti, baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) $300 lagi untuk setiap isi rumah pada Januari 2025, serta pembayaran tunai sehingga $600 untuk setiap warga Singapura.
Encik Wong turut menyentuh tentang bagaimana inflasi sedang menurun di seluruh dunia dan gambaran global semakin baik.
Selama lebih sedekad sebelum pandemik Covid-19, inflasi global sebahagian besarnya stabil, termasuk di Singapura, dengan kenaikan harga lebih rendah daripada inflasi global dalam kebanyakan tahun, kata beliau.
Tetapi selepas 2020, rantaian bekalan terganggu disebabkan pandemik dan peperangan di Eropah dan Timur Tengah, yang menjejas harga makanan dan tenaga di mana-mana.
“Kita tidak boleh mengawal harga global. Tetapi kita boleh dan telah mengurangkan kesan terhadap rakyat Singapura,” kata beliau.
Dalam tempoh ini, dolar Singapura dikekalkan kukuh apabila Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengetatkan dasar kewangan sebanyak lima kali, melindungi negara daripada kebanyakan inflasi yang diimport, tambah beliau.
Hasilnya, inflasi di Singapura tidak mencapai tahap tinggi yang dilihat di banyak negara lain, kata Encik Wong.
Beliau menambah bahawa selain usaha pemerintah, pertubuhan juga memainkan peranan mereka dalam melakukan lebih banyak lagi untuk menangani kebimbangan kos sara hidup.
Ini seperti DBS Bank yang menyediakan rebat untuk makanan di pusat penjaja, dan rangkaian pasar raya memberikan diskaun kepada warga emas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg