Singapura masih mengkaji idea skim pelaburan persaraan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), untuk melihat sama ada skim sedemikian boleh direka untuk memberikan kepastian pulangan yang lebih besar sementara mengurangkan risiko, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Mana-mana skim sedemikian, yang mana individu boleh pilih untuk ikut serta, mesti membenarkan rakyat Singapura bukan sahaja memilih saham, tetapi juga melabur dalam dana yang “diuruskan dengan betul”, kata beliau dalam satu wawancara yang diterbitkan pada 7 Februari.
“Cabarannya ialah bolehkah dana sebegini menghasilkan pulangan yang lebih baik daripada pulangan yang sangat murah hati, bebas risiko dan terjamin yang sudah pun disediakan pemerintah?
“Dan adakah ia masih mempunyai sedikit turun naik, yang akan mendedahkan pencarum CPF kepada risiko pasaran kewangan, terutamanya apabila mereka bersara?,” kata Encik Wong.
Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata pemerintah pernah mempertimbangkan skim sedemikian “beberapa tahun lalu” dan masih mengkaji sama ada terdapat ciri reka yang membolehkan produk berisiko rendah, pulangan tinggi sedemikian diperkenalkan.
Dalam wawancara meluas mengenai kecukupan persaraan dengan akhbar bahasa Cina, Lianhe Zaobao, itu, Encik Wong turut menangani isu-isu seperti sokongan bagi golongan yang mudah terjejas; cara mengimbangi penggunaan CPF untuk membiayai simpanan perumahan dan persaraan; dan keinginan rakyat Singapura untuk mempunyai lebih kawalan ke atas wang CPF mereka.
Satu cabaran utama adalah orang ramai hidup lebih lama, yang menimbulkan kebimbangan mengenai dana persaraan yang tidak mencukupi.
Jangka hayat rakyat Singapura merupakan antara yang terpanjang di dunia, pada 83 tahun – jauh meningkat daripada sekitar 60 tahun pada tahun 1960-an.
Encik Wong berkata Singapura menangani hal tersebut dalam dua bidang.
Yang pertama, rakyat Singapura mesti bersedia untuk bekerja lebih lama.
Oleh sebab itu, Encik Wong berkata soal menaikkan usia persaraan dan usia pengambilan bekerja semula telah dibincangkan sejak sekian lama.
Pada 2024, ia diumumkan bahawa usia persaraan di Singapura akan dinaikkan kepada 64 tahun mulai Julai 2026, naik daripada 63 tahun hari ini.
Sementara itu, usia pengambilan bekerja semula pula akan dinaikkan kepada 69 tahun daripada 68 tahun sekarang.
Menjelang 2030, usia persaraan akan dinaikkan kepada 65 dan usia pengambilan bekerja semula dinaikkan kepada 70 tahun.
Encik Wong berkata itu sebabnya pemerintah membuat pelaburan besar dalam SkillsFuture, demi memastikan pekerja lanjut usia terus dapat mempertingkat kemahiran mereka dan menimba kemahiran baru supaya dapat kekal berdaya saing dan relevan.
Kedua pula, simpanan persaraan mesti dibuat untuk bertahan sepanjang hayat seseorang, tidak kira berapa lama – itulah sebabnya anuiti CPF Life dilaksanakan, tambah beliau.
“Apa yang kami ingin lakukan adalah memberi jaminan kepada setiap rakyat Singapura bahawa selagi anda berusaha... bekerja secara konsisten, dan jika anda mula pada usia muda, pada masa anda mencapai usia senja dan mahu bersara, anda harus mempunyai perlindungan mencukupi melalui sistem CPF untuk persaraan anda,” kata beliau.
Isu jangka hayat yang lebih panjang turut diketengahkan dalam wawancara berasingan Zaobao bersama Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, dan pengerusi Panel Penasihat CPF, Profesor Tan Chorh Chuan, yang juga Setiausaha Tetap Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF).
Memandangkan rakyat Singapura menjalani “kehidupan yang lebih lama berbanding tempoh lain sebelum ini”, minda mesti berubah mengikut peredaran zaman, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan.
“Jika anda melihat gambaran keseluruhan tentang apa yang kami lakukan dalam Forward Singapore, jaminan kami kepada setiap rakyat Singapura ialah selagi anda bekerja dan anda menyumbang secara konsisten kepada CPF, kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kewangan anda dalam persaraan adalah mencukupi,” kata beliau.
Kadar caruman CPF telah diubahsuai sejak bertahun lalu sebagai respons kepada keadaan ekonomi, kata beliau.
Namun, apa yang kekal konsisten adalah objektif untuk terus menaikkan kadar caruman untuk pekerja lanjut usia, sementara bersikap “sangat sedar dan prihatin terhadap kemampanan perniagaan”.
Isu menaikkan kadar caruman adalah “satu dialog yang berterusan” dengan rakan kongsi tiga pihak, tambah menteri itu.
Juga sentiasa dalam semakan adalah aspek berkaitan penjagaan kesihatan CPF, dengan kos penjagaan kesihatan dijangka meningkat sedang masyarakat menua.
“Saya rasa itulah sebabnya had tuntutan MediSave, premium MediShield Hayat dan sebagainya akan terus dikemas kini (dan) akan terus disemak,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg