Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Pemerintah tangani isu dekat di hati masyarakat Melayu/Islam

Perkukuh pendidikan madrasah, bina masjid baru dan sokong kemajuan masyarakat gemilang
Apr 24, 2025 | 9:38 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di rapat PAP yang pertama di Stadium Woodlands pada 24 April. Di kiri ialah Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga AP GRC Sembawang - tetamu khas di rapat PAP yang pertama di Stadium Woodlands pada 24 April.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di rapat PAP yang pertama di Stadium Woodlands pada 24 April. Di kiri ialah Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga AP GRC Sembawang - tetamu khas di rapat PAP yang pertama di Stadium Woodlands pada 24 April. - Foto ST

Pemerintah telah banyak membantu dalam usaha mempertingkatkan masyarakat Melayu/Islam di Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Sebagai perdana menteri, Encik Wong berkata beliau telah melakukan yang terbaik dalam menangani isu-isu yang dekat di hati masyarakat.

“Saya banyak berbincang bersama masyarakat Melayu/Islam kita.

“Kami menangani isu-isu penting masyarakat Melayu/Islam: memperkukuh pendidikan madrasah, membina masjid-masjid baru, dan menyokong kemajuan anda sebagai sebuah masyarakat gemilang,” kata beliau.

Encik Wong berkata demikian dalam ucapan bahasa Melayu di rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang pertama diadakan di Stadium Woodlands pada 24 April, iaitu hari kedua berkempen dalam Pilihan Raya Umum (GE2025).

Selain isu khusus yang menjejas masyarakat Melayu/Islam, Encik Wong berkata pemerintah turut menangani keprihatinan di peringkat nasional, termasuk kos sara hidup.

Menurut Encik Wong, beliau memahami isu kos sara hidup membimbangkan dan menjejas rakyat.

Maka itu, pemerintah telah mengumumkan pakej menyeluruh dalam Belanjawan 2025.

Ia termasuk baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), baucar SG60, bayaran tunai dan rebat bil api air.

Dengan sokongan yang dihulurkan, Encik Wong berkata keluarga biasa akan menerima bantuan sekitar $5,000 pada 2025, dan golongan berpendapatan rendah pula akan menerima lebih banyak.

“Kami memantau keadaan ini dengan teliti. Kami sedia lakukan lebih banyak jika keadaan (menjadi) lebih teruk.

“PAP akan sentiasa bersama anda untuk menyokong anda!” kata beliau.

Dengan keadaan dunia semakin bergelora, ketidakpastian ekonomi dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, Encik Wong berkata pilihan raya kali ini amat penting.

Beliau memberi jaminan bahawa rakyat Singapura sentiasa boleh bergantung kepada PAP untuk memimpin dengan tenang dan yakin setiap kali berlakunya krisis.

Namun, untuk berbuat demikian, Encik Wong berkata PAP memerlukan sokongan rakyat.

“Jadi, berilah peluang kepada saya dan pasukan saya untuk berkhidmat sebaik mungkin untuk anda.

“Berilah peluang yang terbaik kepada anda dan keluarga anda demi menjamin masa hadapan yang lebih cerah untuk semua. Undilah saya dan pasukan PAP saya,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg