Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: SG60 masa renung pertumbuhan S’pura

Dengan gerakan sukarelawan seperti Team Nila, S’pura mampu anjur acara sukan bertaraf dunia
Mar 8, 2025 | 9:09 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tengah), memakai gelang persahabatan yang diperbuat daripada baju seragam Team Nila yang tidak lagi digunakan pada Karnival Team Nila di Pusat Sukan Bukit Canberra pada 8 Mac 2025. Beliau turut ditemani Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua (kiri); Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu (tiga dari kanan).
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tengah), memakai gelang persahabatan yang diperbuat daripada baju seragam Team Nila yang tidak lagi digunakan pada Karnival Team Nila di Pusat Sukan Bukit Canberra pada 8 Mac 2025. Beliau turut ditemani Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua (kiri); Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu (tiga dari kanan). - Foto ST

Sambutan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60) adalah masa untuk negara ini merenung semula bagaimana ia melawan jangkaan yang terbentang dan merancang masa depannya, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Berucap di Karnival Team Nila, satu gerakan sukarelawan yang diusahakan Majlis Sukan Singapura pada 8 Mac, Encik Wong berkata Singapura terus mengatasi cabaran melalui kekuatan kolektif.

Bagaimanapun, 60 tahun adalah tempoh yang singkat bagi sesebuah negara, dengan Singapura mempunyai lebih banyak lagi perkara untuk ditempuh, tambahnya di Pusat Sukan ActiveSG Bukit Canberra.

“Lantaran itu, SG60 yang disambut tahun ini (2025) adalah masa untuk kita merenung perjalanan kita, berterima kasih atas semua yang kita miliki di sini, di Singapura, dan memandang ke hadapan di samping mempertimbangkan apa lagi yang boleh kita lakukan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Wong turut menekankan kepentingan kumpulan sukarelawan yang kukuh sebab ia akan membantu Singapura menganjurkan lebih banyak acara sukan bertaraf dunia di Singapura. 

Sejajar dengan itu, lebih banyak latihan akan disediakan supaya sukarelawan Team Nila dapat mendalami kepakaran dalam bidang seperti sukan, pengurusan pertandingan, serta logistik acara.

Mereka juga akan dibimbing supaya dapat dinaik taraf menjadi pemimpin sukarelawan.

Berucap di hadapan sekitar 5,000 hadirin, Encik Wong berkata:

“Sebahagian daripada anda sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar.

“Dengan teras sukarelawan yang kukuh, kita dapat menganjurkan lebih banyak acara bertaraf dunia di Singapura dan memastikan atlet kita mendapat lebih banyak peluang untuk bertanding di tanah air – dengan Team Singapore dan Team Nila bersorak memberikan sokongan kepada mereka.”

Beliau turut menggariskan bagaimana Team Nila sudah berkembang sejak ditubuhkan pada 2015, sesuai dengan acara Sukan SEA di Singapura ketika itu.

Encik Wong merupakan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia ketika Team Nila dilancarkan pada 2015 dan menyumbang kepada kejayaan Singapura menjadi tuan rumah Sukan SEA dan Sukan Para Asean.

Beliau mengimbau bagaimana pada awalnya ketidakpastian wujud memikirkan sambutan sukarelawan yang akan menyertai acara tersebut, namun berjaya mendapat pendaftaran sebanyak 33,000 sukarelawan.

“Hari ini, 10 tahun selepas Team Nila dibentuk, lihatlah sejauh mana kita telah melangkah dan bagaimana kita telah berkembang. Kini, kita mempunyai 50,000 sukarelawan berdaftar.

“Bersama-sama, anda telah menyokong lebih 2,800 acara dan menyumbang lebih daripada 1.5 juta jam kerja sukarela,” jelas Encik Wong.

Perdana Menteri Encik Lawrence Wong merupakan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia ketika Team Nila dilancarkan pada 2015 dan menyumbang kepada kejayaan Singapura menjadi tuan rumah Sukan SEA dan Sukan Para Asean.
Perdana Menteri Encik Lawrence Wong merupakan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia ketika Team Nila dilancarkan pada 2015 dan menyumbang kepada kejayaan Singapura menjadi tuan rumah Sukan SEA dan Sukan Para Asean. - Foto ST

Acara sulung Karnival Team Nila itu diadakan bagi memperingati 10 tahun sukarelawan sukan.

Antara hadirin ialah Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua; sukarelawan, keluarga, syarikat serta rakan agensi.

Team Nila memainkan peranan penting dalam mempromosikan perpaduan sosial melalui sukan, seperti menyumbang tenaga kepada pusat sukan serta acara sukan.

Selain daripada sukan, mereka juga telah menjadi sukarelawan dalam acara kebangsaan, termasuk Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), pengedaran pek penjagaan semasa pandemik COVID-19, dan bantuan untuk mangsa gempa bumi di Turki pada 2023.

Sesuai dengan SG60 serta kalendar sukan yang padat pada 2025, sukarelawan Team Nila akan terus berada di barisan hadapan dan memainkan peranan penting dalam memupuk rasa kebersamaan dan kebanggaan.

Pasukan sukarelawan sekitar 10,000 orang dijangka menyumbang 250,000 jam untuk menyokong acara besar seperti Kejohanan Dunia Akuatik 2025, Kejohanan Dunia Renang Para 2025, dan sambutan tahunan Hari Kebangsaan GetActive! Singapura.

Rancangan sedang diatur untuk memberdayakan sukarelawan Team Nila agar dapat memberi sumbangan bermakna kepada inisiatif SG60.

Ini termasuk ‘Project Reignite’ – usaha penglibatan bulanan untuk memperkukuh hubungan dengan sukarelawan dan menggalakkan lebih ramai penglibatan.

Salah seorang sukarelawan yang sudah menyertai Team Nila sejak 2019, Cik Nun Zairina Indun, 69 tahun, berkongsi sebagai warga senja, kerja sukarela membantunya berjumpa masyarakat dan menggerakkan otaknya.

Cik Nun Zairina Indun, 69 tahun, berbangga dapat membantu Singapura melalui kerja sukarelawan Team Nila.  
Cik Nun Zairina Indun, 69 tahun, berbangga dapat membantu Singapura melalui kerja sukarelawan Team Nila.   - Foto MAJLIS SUKAN SINGAPURA

“Apabila kita dapat berkumpul dan bergaul, kita dapat mematangkan lagi fikiran kita.

“Kalau kita berada di rumah, nanti fikiran kita akan lebih perlahan,” ujarnya yang merupakan seorang suri rumah.

Cik Zairina, ibu tiga anak dan nenek lima cucu, sudah terlibat dalam pelbagai acara seperti kejohanan tenis meja dunia, Singapore Smash 2025. Menurutnya, beliau akan membuat kerja relawan Team Nila sekurang-kurangnya sebulan sekali sehingga tiga hingga empat kali seminggu.

“Kepuasannya ialah apa yang kita buat itu membuatkan kita rasa bangga dapat membantu pupuk semangat kesukanan di Singapura,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg