Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Peranan Asean perlu jelas, bermakna untuk kekal relevan

Usaha percepat penyepaduan jadi lebih mendesak terutama dalam sekitaran global yang lebih tidak menentu, bergelora
May 27, 2025 | 9:00 PM
Para pemimpin negara-negara Asean dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, bergambar bersama di Sidang Puncak Asean-GCC-China yang diadakan buat julung-julung kalinya pada 27 Mei, sempena Sidang Puncak Asean Ke-46 di Kuala Lumpur, Malaysia.
Para pemimpin negara-negara Asean dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, bergambar bersama di Sidang Puncak Asean-GCC-China yang diadakan buat julung-julung kalinya pada 27 Mei, sempena Sidang Puncak Asean Ke-46 di Kuala Lumpur, Malaysia. - Foto ZAOBAO

Asean perlu mempertingkat usahanya dan melakarkan peranan yang jelas dan bermakna bagi blok serantau itu kekal relevan dalam dunia yang berubah, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Tugas bagi Asean untuk mempercepatkan penyepaduannya telah menjadi “lebih mendesak daripada sebelumnya,” terutamanya dalam persekitaran global baru semasa yang lebih tidak menentu dan bergelora, tambah beliau.

Encik Wong berkata demikian kepada media Singapura pada 27 Mei dalam menggulung lawatannya ke Kuala Lumpur, Malaysia bagi Sidang Puncak Asean Ke-46 dan Sidang Berkaitan.

Sidang puncak itu menyaksikan pemimpin dari 10 negara Asean bertemu di tengah-tengah ketidaktentuan dasar perdagangan dan tarif Amerika Syarikat yang menjejas prospek global.

Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan,’ sidang puncak tahun ini dipengerusikan Malaysia dan mengetengahkan agenda memandang ke hadapan dan keutamaan Asean dalam membina sebuah rantau yang bersatu padu dan berdaya tahan di tengah-tengah cabaran geopolitik dan ekonomi.

“Kita perlu mempertingkat usaha dan melakarkan peranan yang jelas, bermakna bagi diri kita dalam dunia yang berubah ini, kerana jika tidak, Asean akan hilang relevan.

“Saya gembira bahawa dalam pertemuan kali ini, kita telah mengadakan perbincangan yang jujur mengenai realiti baru ini, dan pemimpin Asean mengiktiraf kesegeraan tugas tersebut, dan terdapat rasa tindakan segera diperbaharui yang kita perlu dorong untuk penyepaduan lebih rapat.

“Dan ini termasuk mengusahakan pelaksanaan penuh perjanjian yang telah dipersetujui,” kata beliau.

Antara perjanjian itu termasuk menjadikan Asean bebas tarif sepenuhnya, mengurangkan halangan bukan tarif, dan mengusahakan perdagangan yang lebih lancar bukan hanya dari segi barangan tetapi juga perkhidmatan – sekali gus menjadikan Asean sebuah destinasi pelaburan yang lebih menarik.

Terdapat juga bidang baru untuk disepadukan, tambah Encik Wong, terutamanya dalam ketersambungan digital dan kuasa.

Pada 27 Mei, Encik Wong bersama pemimpin Asean yang lain juga bertemu dengan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, dan juga pemimpin negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dalam Sidang Puncak Asean-GCC-China yang diadakan buat julung-julung kalinya, dan juga Sidang Puncak Asean-GCC kedua.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Encik Wong berkata adalah penting bagi Asean memperdalam hubungan dan kerjasama dengan China dan GCC – dua rakan strategik yang penting – untuk terus maju dan mengembangkan kerelevenannya di dunia.

Beliau berharap Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Singapura-GCC yang sedia ada hari ini – FTA pertama GCC bersama sebuah negara bukan dari Timur Tengah – boleh menjadi model bagi Asean untuk mewujudkan FTA Asean-GCC satu hari kelak.

Beliau menambah bahawa ini akan menyediakan lebih banyak peluang bagi dua blok serantau tersebut dalam perdagangan dan pelaburan “kerana Timur Tengah semakin berkembang, mereka sedang jalani transformasi, dan kami berpendapat bahawa terdapat banyak peluang bagi perniagaan kita.”

China pula menambah elemen baru, dan sekiranya FTA antara Asean, China dengan GCC, serta kerjasama GCC dengan Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) dapat diwujudkan satu hari nanti, ia “akan menjadi lebih berkesan,” kata Encik Wong.

Tentang sama ada sebuah Sidang Puncak Amerika-Asean khas dapat diwujudkan – seperti yang disarankan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim – Encik Wong berkata Asean mungkin bukan perkara utama dalam fikiran Amerika pada peringkat ini, namun blok serantau itu pastinya mahu Amerika terlibat di rantau ini.

Beliau menambah bahawa negara-negara Asia Tenggara juga boleh mendekati Amerika sebagai negara individu dan juga secara kolektif sebagai Asean.

“Anggota individu Asean berada di tahap perkembangan ekonomi yang berbeza, dan keseimbangan perdagangan kita bersama Amerika juga berbeza… Amerika mungkin lebih suka mendekati negara secara individu, oleh kerana isunya pelbagai,” kata beliau.

“Namun, terdapat manfaat bagi kita bersatu sebagai sebuah kumpulan untuk mendekati Amerika sebagai Asean dan kedua-duanya tidak saling eksklusif.

“Malah, ia adalah pelengkap, dan saya akan katakan mengukuhkan, kerana sebenarnya kita tidak bersilang tujuan – sama ada mendekati sebagai negara anggota individu atau sebagai Asean, objektif kita adalah untuk mengurangkan halangan dengan Amerika, untuk mengurangkan halangan perdagangan dan pelaburan,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg