PM Wong: Perbincangan baik dengan PM Anwar, tetap arah positif jalinan dua negara
PM Wong: Perbincangan baik dengan PM Anwar, tetap arah positif jalinan dua negara
S’pura dan Malaysia sambut ulang tahun ke-60 hubungan dua hala pada 2025
Perdana Menteri Lawrence Wong, yang sedang membuat lawatan rasmi ke Malaysia bagi menghadiri Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11, dijamu dalam satu majlis jamuan malam oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Rumah Tangsi, sebuah rumah agam dua tingkat berseni bina Eropah yang merupakan sebuah tapak warisan negara, di Kuala Lumpur pada 6 Januari.
Singapura dan Malaysia dijangka memeterai perjanjian semasa rahat pemimpin itu – yang berlangsung ketika Singapura dan Malaysia menyambut ulang tahun ke-60 hubungan dua hala pada 2025 – termasuk perjanjian merasmikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Tiba di Malaysia petang ini dan bertemu PM Anwar Ibrahim semasa makan malam. Menara Berkembar Petronas (KLCC) dinyalakan dengan warna merah, putih dan biru, mewakili warna bendera Malaysia dan Singapura.
“Kami mengadakan perbincangan yang baik mengenai banyak bidang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Ini akan menetapkan trajektori positif bagi hubungan dua hala kami, kerana kita menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kami tahun ini,” kata Encik Wong dalam satu catatan Facebook pada 6 Januari.
Terdahulu, Encik Wong disambut oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Encik Zambry Abdul Kadir, apabila beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sebagai sebahagian daripada Rahat Pemimpin itu, Encik Wong menghadiri majlis sambutan rasmi pada 7 Januari, diikuti dengan pertemuan antara pemimpin dan delegasi Singapura dan Malaysia.

