Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Perpaduan aset berharga, perlu terus dilindungi

Pemerintah akan bantu keluarga, sedia peluang lebih baik untuk anak-anak; lebih banyak sokongan bagi warga emas
Jan 28, 2025 | 3:00 AM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Amanat Tahun Baru Cina 2025 berkata pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi untuk membantu keluarga dan menyediakan peluang lebih baik untuk anak-anak, serta memberikan sokongan lebih baik kepada golongan penjaga.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Amanat Tahun Baru Cina 2025 berkata pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi untuk membantu keluarga dan menyediakan peluang lebih baik untuk anak-anak, serta memberikan sokongan lebih baik kepada golongan penjaga. - Foto MDDI

Perpaduan yang dinikmati Singapura hari ini adalah satu aset berharga yang harus terus dilindungi dan dipupuk, lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin berpecah belah, kata Perdana Menteri Encik Lawrence Wong dalam Amanat Tahun Baru Cina yang disampaikan pada 28 Januari.

Beliau berkata kepelbagaian negara ini adalah satu sumber kekuatan, dan Singapura mesti terus mencari jalan memperdalami persefahaman bersama dan memperluaskan ruang yang dikongsi bersama.

Menyambut kedatangan Tahun Ular dengan meriah sempena ulang tahun ke-60 Singapura pada 2025, beliau menambah bahawa pemerintah juga akan melakukan lebih banyak lagi untuk membantu keluarga dan menyediakan peluang lebih baik untuk anak-anak, serta memberi sokongan lebih baik kepada golongan penjaga.

Encik Wong berkata musim perayaan ini merupakan peluang untuk meraikan kepelbagaian keluarga Singapura.

Meskipun terdapat pandangan yang berbeza mengenai isu-isu yang dekat pada hati, beliau berkata orang ramai tidak boleh membiarkan perbezaan tersebut memisahkan masyarakat.

“Kita harus lebih berusaha mendekati rakyat Singapura kita yang berlainan bangsa dan agama.

“Kepelbagaian kita adalah satu sumber kekuatan, dan kita mesti terus mencari jalan memperdalami persefahaman bersama dan memperluaskan ruang yang dikongsi bersama kita.

“Dalam dunia yang semakin berpecah-belah, perpaduan kita adalah aset berharga yang kita mesti terus lindungi dan pupuk,” kata beliau.

Dunia juga semakin bahaya, kata Encik Wong, dengan kumpulan pengganas menggunakan konflik di Timur Tengah untuk meneruskan agenda mereka dan menyeru serangan.

Bahkan, pada awal Januari, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) telah mengumumkan penahanan tiga lelaki warga Singapura yang menjadi radikal melalui dalam talian, secara berasingan, dan telah membuat persiapan melibatkan diri dalam keganasan bersenjata di luar negara.

Singapura akan terus kekal berwaspada terhadap sebarang ancaman keselamatan, namun orang ramai juga harus bersedia dari segi mental bagi kemungkinan serangan berlaku di sini, kata Encik Wong.

“Sekiranya itu berlaku, kita mesti dapat berdiri bersama sebagai rakyat yang bersatu, tegas dan tidak berbelah bahagi. Cabaran sedemikian tidak seharusnya melemahkan fabrik masyarakat kita, namun sebaliknya memperkukuh tekad untuk melindungi keharmonian dan cara hidup kita,” tambah beliau.

Encik Wong turut menyentuh tentang sokongan yang akan diberikan kepada keluarga, termasuk mereka yang mudah terjejas.

Beliau menekankan bahawa pemerintah komited menyokong keluarga di setiap tahap kehidupan.

Misalnya, bagi pasangan muda, pemerintah sedang meningkatkan bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan menjadikan perumahan awam lebih mampu dimiliki.

Turut dipertingkat adalah aturan cuti, termasuk skim Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa baru yang diumumkan semasa Rapat Hari Kebangsaan 2024.

Bagi golongan warga emas pula, lebih banyak sokongan disediakan agar mereka boleh meniti usia senja dengan tenang dan bermaruah melalui program seperti Sihat Menua SG.

Encik Wong berkata pemerintah juga akan mencari jalan memberi sokongan lebih baik kepada golongan penjaga dan mengiktiraf peranan penting mereka dalam memperkukuh ikatan keluarga.

Encik Wong turut mengajak orang ramai mengingati rakan rakyat Singapura yang sedang melalui masa yang sukar.

“Pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi untuk membantu keluarga yang terjejas, mempertingkat mereka, dan menyediakan peluang lebih baik untuk anak-anak mereka.

“Namun, usaha membina masyarakat inklusif memerlukan kita semua memainkan peranan. Setiap perbuatan baik, walau sekecil mana pun, mendekatkan kita.

“Setiap daripada kita boleh membuat perubahan – dengan menderma kepada tujuan amal, menawarkan diri untuk membantu mereka yang memerlukan, atau menerajui inisiatif sosial,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg