Perdana Menteri Encik Lawrence Wong telah mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 28 Oktober – hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Berkaitan.
Bercakap kepada media bagi menggulung lawatannya, Encik Wong berkata beliau telah mengucapkan tahniah kepada Datuk Anwar atas kejayaan Malaysia mempengerusikan Asean.
Beliau turut memberi penghargaan kepada Datuk Anwar atas kepimpinannya dalam mengemudi Asean melalui tahun yang “mencabar dan penuh peristiwa”.
“Perdana Menteri Anwar dan Malaysia telah membolehkan Asean mencapai dan memperoleh beberapa pencapaian sepanjang tahun ini,” kata Encik Wong.
Beliau menukil contoh bagaimana di bawah kepimpinan Asean Malaysia, Timor-Leste berjaya disertakan ke dalam Asean sebagai negara anggota yang ke-11 dan pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Kemboja dengan Thailand.
Asean juga berjaya mengesahkan semula lima perkara konsensus mengenai pengurusan isu yang sedang berlaku di Myanmar dan menyediakan bantuan kemanusiaan kepada negara tersebut susulan gempa bumi yang dahsyat, tambahnya.
“Ini merupakan langkah ke hadapan yang besar bagi Asean.
“Jadi secara keseluruhannya, ia merupakan tahun yang sangat produktif di bawah kepengerusian Malaysia, dan kita telah sama-sama mengambil langkah yang besar dan penting ke hadapan,” tambah Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg