Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, diuji positif Covid-19 pada 3 Disember. Ini merupakan kali pertama beliau dijangkiti virus tersebut.
Dalam hantaran di Facebook yang dimuat naik pada 6.52 petang, Encik Wong berkata beliau bangun pagi dengan sakit tekak yang teruk selepas beberapa lawatan kerja ke luar negara.
Pada mulanya beliau menyangka telah dijangkiti selesema tetapi mengambil ujian Covid-19 untuk mengesahkan, lapor The Straits Times.
“Ternyata, saya akhirnya tunduk kepada Covid-19 selepas bertahun-tahun!” katanya dalam hantaran tersebut.
“Saya berasa sihat secara keseluruhan dan akan mengasingkan diri semasa bekerja dari rumah,” tambah Encik Wong, yang berusia 52 tahun pada 18 Disember.
Beliau juga menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil suntikan dan vaksin selesema mereka, terutama kerana ramai rakyat Singapura sedang melancong semasa musim cuti.
Beliau menambah bahawa mereka harus memakai pelitup muka dan mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan jika mereka berasa tidak sihat.
Encik Wong, sebelum ini, merupakan pengerusi bersama pasukan petugas pelbagai kementerian mengenai Covid-19 semasa pandemik itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg