Terdapat pelbagai alasan mengapa seseorang Anggota Parlimen (AP) memilih untuk berundur daripada dunia politik, termasuk AP yang hanya berkhidmat untuk satu penggal dan mungkin mempunyai sebab peribadi yang tidak sesuai untuk dikongsi secara terbuka, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Dalam satu sidang media diadakan di ibu pejabat Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 23 April menyusuli pengumuman calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025, Encik Wong berkata partinya mempertimbangkan pelbagai faktor sebelum menentukan AP manakah yang akan mengundurkan diri dan siapakah muka baru yang akan dibawa masuk.
“Kami mempunyai ramai individu yang baik, yang sedang dan telah berkhidmat. Kami berbincang dengan mereka dari semasa ke semasa. Bagi AP satu penggal, ada juga yang memilih untuk tidak meneruskan, dan kebanyakannya atas sebab peribadi, jadi tidak sesuai untuk saya kongsikan.
“Namun, selain AP satu penggal, terdapat individu yang telah berkhidmat selama dua hingga tiga penggal, dan kami biasanya membuat pembaharuan setelah itu,” kata beliau.
Encik Wong berkata demikian apabila ditanya mengapa AP satu penggal, seperti Encik Fahmi Aliman yang berkhidmat di GRC Marine Parade, dan AP terdahulu seperti mantan Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin, tidak disertakan dalam GE2025.
Beliau berkata sama ada dalam pilihan raya kali ini atau sebelumnya, pasukan PAP akan berbincang dengan barisan AP semasa, dan mempertimbangkan “pelbagai keadaan, pelbagai faktor peribadi” sebelum membuat keputusan siapa yang kekal atau tidak dan siapa muka baru yang akan disertakan dalam pasukan.
Encik Fahmi, yang merupakan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, membuat penampilan pertamanya dalam politik semasa GE2020 sebagai sebahagian daripada pasukan lima anggota PAP yang bertanding di GRC Marine Parade.
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat lebih 26 tahun dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sebelum meninggalkan SAF pada Februari 2019 berpangkat Kolonel.
Beliau menyertai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif, sebelum mengundur diri pada Mac 2020 untuk bertanding di GE2020.
Encik Amrin pula muncul buat kali pertama dalam bidang politik semasa GE2015, yang bertanding dalam pasukan PAP di GRC Sembawang.
Dalam GE2020, Encik Amrin bersama pasukan PAP terdiri daripada mantan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Encik Ng Chee Meng; mantan Menteri Negara Kanan, Dr Lam Pin Min; dan Encik Raymond Lye, bertanding di GRC Sengkang yang baru dibentuk.
Mereka bagaimanapun tewas kepada pasukan Parti Pekerja (WP) yang terdiri daripada Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim, Cik Raeesah Khan dan Encik Louis Chua.
Encik Wong berkata bagi individu yang pernah bertanding sebelum ini, perbincangan juga diadakan dengan setiap daripada mereka untuk menentukan sama ada mereka dibawa masuk kembali.
“Namun, kami juga mencari calon baru, dan pada penghujung hari, kami perlu melihat keseluruhan senarai individu yang kami ada dan memutuskan siapa yang mungkin kami bawa masuk sebagai calon baru untuk parti,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg