Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Rakyat S’pura perlu pilih pasukan yang akan pimpin negara

Pilihan raya umum diadakan sedang dunia lalui perubahan besar yang tidak pasti, tidak stabil
Apr 15, 2025 | 8:04 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata rakyat Singapura perlu membuat keputusan tentang pasukan yang bakal memimpin negara dalam Pilihan Raya Umum 2025.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata rakyat Singapura perlu membuat keputusan tentang pasukan yang bakal memimpin negara dalam Pilihan Raya Umum 2025. - Foto ZAOBAO

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata beliau memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum sekarang kerana dunia sedang melalui perubahan besar yang tidak pasti dan tidak stabil, sambil menekankan bahawa rakyat Singapura perlu memilih pasukan yang akan memimpin negara.

“Kita sedang menyaksikan perubahan besar di dunia. Ia menjadi semakin tidak menentu dan tidak stabil. Keadaan global yang membolehkan Singapura mencapai kejayaan sejak beberapa dekad mungkin tidak lagi berkekalan.

“Jesteru saya memutuskan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ini. Pada persimpangan kritikal ini, rakyat Singapura harus memilih pasukan untuk memimpin negara, dan melakar hala tuju masa depan Singapura bersama,” kata Encik Wong.

Kenyataan Encik Wong dikeluarkan tidak lama selepas beliau menasihatkan Presiden Tharman Shanmugaratnam supaya membubarkan Parlimen dan mengeluarkan Writ Pilihan Raya.

Hari Penamaan Calon adalah pada 23 April, dan rakyat Singapura akan keluar mengundi pada 3 Mei, lapor The Straits Times (ST).

Pilihan raya akan datang merupakan yang pertama bagi Encik Wong sebagai Perdana Menteri dan setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Sementara itu, dalam satu video berasingan, Encik Wong telah memperkenalkan sembilan lagi calon PAP lain.

“Kami perlukan sokongan anda. Ayuh bina Singapura yang lebih baik buat diri kita dan semua yang kita sayangi,” katanya.

Antaranya ialah mantan presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Hazlina Abdul Halim yang telah disahkan menggantikan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman di GRC East Coast.

Dalam video tersebut mantan penjawat awam, Encik Jeffrey Siow, ahli akademik Dr Choo Pei Ling, pengarah kedermawanan badan amal, Encik David Hoe turut dipaparkan.

Muka baru lain yang turut disediakan ialah mantan pengarah Kementerian Pengangkutan (MOT), Encik Foo Cexiang; Ketua Hal Ehwal Korporat Sembcorp untuk Singapura dan Asia Tenggara, Cik Valerie Lee; pengarah eksekutif badan amal CampusImpactl, Cik Elysa Chen; mantan ketua pegawai eksekutif (CEO) Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Encik Dinesh Vasu Dash; dan peguam Encik Alex Yeo juga telah dipaparkan dalam video itu.

Dalam sidang media pada 12 April untuk mengumumkan pasukan GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Wong berkata dunia sedang melalui perubahan besar yang tidak menentu ke arah susunan global yang baru.

“Ribut semakin membesar dan dalam keadaan ini, siapa yang memimpin sangat penting. Rakyat Singapura perlu memilih pasukan yang mereka percayai untuk memimpin negara dan merancang hala tuju kita.”

Memimpin parti pemerintah dalam pilihan raya, Encik Wong berkata beliau akan membentangkan rancangan parti PAP kepada rakyat Singapura, dan berharap rakyat Singapura memberi peluang kepada beliau dan pasukannya melakukan yang terbaik untuk rakyat.

PAP akan meletakkan lebih 30 calon baru – jumlah terbesar dalam sejarah – dalam senarai calon mereka untuk pilihan raya umum 2025 (GE2025).

GE2025 diadakan ketika perang dagang antara Amerika Syarikat dengan China berlaku, selepas tarif meluas dikenakan oleh Presiden Donald Trump terhadap kebanyakan negara.

Pada 9 April, Amerika mengumumkan penangguhan “tarif timbal balas” selama 90 hari, kecuali tarif terhadap China yang kini 145 peratus. China membalas dengan menaikkan tarif ke atas barang Amerika kepada 125 peratus mulai 12 April.

Singapura dikenakan cukai 10 peratus pada barang import dari semua negara, yang berkuatkuasa pada 5 April.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata pada 14 April bahawa sistem perdagangan global yang membantu Singapura pulih dari krisis sebelum ini tidak lagi pasti. 

Tarif Amerika juga boleh menyebabkan penurunan perdagangan global dan kemelesetan jika negara lain membalas.

“Sesetengah orang berkata, ‘jangan terlalu teruja, kita telah mengharungi ribut lebih besar sebelum ini,’” kata Encik Lee sebelum dialog dengan pemimpin NTUC.

“Kita perlu hadapi dengan tenang, tetapi harus faham apa yang sedang berlaku kerana kali ini, sesuatu yang penting berbeza.”

“Saya harap rakyat Singapura faham apa yang dipertaruhkan dan apa yang perlu kita lakukan bersama untuk masa depan kita.”

Pilihan raya kali ini akan melibatkan 97 kerusi merangkumi 33 kawasan. Ia terdiri daripada 18 GRC dan 15 SMC.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg