Singapura adalah antara 18 negara yang mengambil bahagian dalam latihan keselamatan maritim serantau, bertujuan untuk mengukuhkan tindak balas terhadap ancaman keselamatan dari laut.
Latihan tahunan itu, dikenali sebagai Latihan dan Kerjasama Asia Tenggara (Seacat), berlangsung dari 12 Ogos hingga 23 Ogos, lapor The Straits Times.
Ia melibatkan peserta daripada lima negara Asia Tenggara yang lain – Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina dan Vietnam – serta dari India, Bangladesh, Sri Lanka, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Maldives, Palau, Perancis, Jerman, Britain dan Amerika Syarikat.
Dipimpin oleh tentera laut Amerika, latihan itu terdiri daripada program berasaskan pantai selama lima hari, diikuti fasa laut selama seminggu yang diadakan di Pusat Perintah dan Kawalan Changi di RSS Singapura – Pangkalan Tentera Laut Changi.
Para pakar dan peserta berkongsi amalan terbaik untuk menangani ancaman keselamatan maritim di rantau ini, semasa menjalani program berasaskan pantai itu.
Ia dihadiri oleh kakitangan dari Flotila Tindak Balas Maritim dan Keselamatan (MSRF) Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), Pusat Gabungan Maklumat (IFC) dan Unit Penyelam Tentera Laut (NDU).
Semasa fasa laut latihan itu, IFC dan Pegawai Perhubungan Antarabangsanya – yang membantu memudahkan komunikasi antara pihak di negara yang berbeza – bekerjasama dengan para peserta untuk memahami maklumat masa nyata tentang kapal di rantau ini untuk mengenal pasti kapal yang dalam pemerhatian di Selat Melaka dan Singapura, serta dari Laut China Selatan.
“Usaha ini membantu untuk mengukuhkan usaha kerjasama dalam menangani ancaman keselamatan maritim di rantau ini,” kata Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan pada 23 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg