Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan pada 8 Ogos, iaitu malam Hari Kebangsaan.
Ini adalah amanat Hari Kebangsaan kedua yang akan disampaikan Encik Wong sebagai perdana menteri, selepas beliau mengangkat sumpah bagi menggalas tugas itu pada 15 Mei 2024.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada 1 Ogos berkata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, akan menyampaikan amanat tersebut dalam bahasa Inggeris.
Ia akan disiarkan pada 6.40 petang di saluran berita televisyen CNA dan stesen radio CNA938, lapor The Straits Times (ST).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, akan menyampaikan amanat tersebut dalam bahasa Mandarin.
Ia akan disiarkan pada 8.40 malam di saluran televisyen Channel 8 dan stesen radio Capital 95.8FM.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pula akan menyampaikan perutusan dalam bahasa Melayu.
Ia akan disiarkan pada 8.30 malam di saluran televisyen Suria.
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, akan menyampaikan amanat tersebut dalam bahasa Tamil.
Ia akan disiarkan pada 9 malam di saluran televisyen Vasantham dan stesen radio Oli 96.8FM.
Amanat Hari Kebangsaan dalam semua empat bahasa itu akan diterbitkan di laman web PMO dan di saluran YouTube PMO selepas siaran pertama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg