Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan menyampaikan Rapat Hari Kebangsaan 2026 pada 23 Ogos.

Rapat tersebut akan diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio.

Demikian menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 12 Jun.

Rapat Hari Kebangsaan merupakan wadah bagi Perdana Menteri untuk berucap kepada rakyat Singapura, melaporkan kemajuan yang telah dicapai, berkongsi perkara dasar penting serta menyerlahkan cabaran masa depan Singapura.

Acara pada 23 Ogos itu akan menjadi Rapat Hari Kebangsaan ketiga Encik Wong selaku Perdana Menteri.

Dalam ucapannya pada 2025, beliau menyeru rakyat Singapura agar bersatu dalam menulis babak seterusnya kisah negara, sambil menggariskan rancangan pemerintah untuk memastikan masa depan Singapura terjamin dalam dunia yang sentiasa berubah.

Encik Wong menekankan bahawa pemanfaatan inovasi dan teknologi akan membolehkan negara meningkatkan daya penghasilan secara mampan dan memperbaiki mutu hidup rakyat.

Beliau turut menggesa rakyat Singapura agar mempunyai mimpi lebih besar, lebih berani dalam meneroka bidang terkini, dan bersedia mencuba perkara baharu.