Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan menyampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan 2025 pada 17 Ogos, di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, di Ang Mo Kio.
Beliau akan memulakan ucapan dalam bahasa Melayu pada 6.45 petang, diikuti dalam bahasa Mandarin dan seterusnya dalam bahasa Inggeris pada 8 malam, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 11 Ogos.
Ucapan Rapat Hari Kebangsaan akan disiarkan di saluran televisyen dan juga stesen-stesen radio tempatan. Ia juga dapat ditonton secara langsung melalui siaran dalam talian di pautan-pautan berikut:
– YouTube PM Wong (https://www.youtube.com/@lawrence_wong)
– PMO Youtube (www.youtube.com/pmosingapore)
Penonton juga boleh mengikuti perkembangan secara langsung melalui WhatsApp PM Wong di https://go.gov.sg/pmwhatsapp dan Telegram https://go.gov.sg/pmtelegram.
Rapat Hari Kebangsaan sering dilihat sebagai ucapan politik tahunan paling penting kerana ia melibatkan perubahan dasar pemerintah, selain lakaran hala tuju Singapura.
Semasa Rapat Hari Kebangsaan 2024, Encik Wong mengumumkan pelbagai inisiatif seperti skim Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa (SPL) yang dinaikkan kepada 10 minggu.
Di samping itu, beliau mengumumkan skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture bagi memberi bantuan kewangan sementara kepada mereka yang kehilangan pekerjaan selain memperkenal skim perumahan yang lebih baik bagi pasangan, golongan bujang dan warga emas.
Dalam ucapannya itu juga, Encik Wong turut mendedahkan pelaksanaan Pelan Induk Kallang Alive yang bakal menyaksikan atlet kebangsaan mendapat rumah baru dipanggil ‘Home of Team Singapore’ di Hab Sukan Singapura di bawah pelan induk tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg