Bilangan peserta yang menyertai pertandingan Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran (MTTQ) pada 2024 telah meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Ini adalah satu petanda baik dan mampu memberi dorongan dorongan kepada generasi lebih muda untuk menyertai edisi masa depan, kata Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Encik Kadir Maideen.
Kategori Tilawah, atau bacaan Quran, menarik penyertaan 29 kanak-kanak pada 2023 itu tetapi disertai 52 kanak-kanak pada 2024.
Lebih ramai peserta juga menyertai pertandingan Tahfiz, atau menghafal Al-Quran, yang mencecah 88 peserta keseluruhannya.
“QuranSG tahun ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ini amat jelas kita lihat pada jumlah penyertaan yang meningkat saban tahun.
“Semoga sokongan ini dapat diteruskan dan mampu memberi dorongan agar menarik minat lebih ramai generasi muda kita untuk sertai pertandingan tilawah dan tahfiz di masa depan,” kata Encik Kadir dalam ucapannya kepada sekitar 600 hadirin di acara penutup MTTQ, yang diadakan di Auditorium Masjid Sultan pada 25 Ogos.
MTTQ telah diadakan di Singapura sejak 1968 tetapi sejak 2023, ia telah dikembangkan menjadi QuranSG dan merangkumi lebih banyak kegiatan untuk menyemarak minat terhadap Al-Quran.
QuranSG kini merangkumi Quran Roadshow, Tadabbur, Seminar Quran dan Festival Quran.
Festival Quran 2024 diadakan di empat masjid dan antara lain, bertujuan memudahkan masyarakat menyaksikan dan meraikan pertandingan di masjid-masjid kejiranan.
Pertandingan MTTQ bukan sahaja memupuk minat dalam pembacaan dan hafalan Al-Quran di peringkat tempatan, tetapi juga mencungkil bakat-bakat baru untuk mewakili Singapura di Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa anjuran Malaysia yang telah disertai Singapura sejak 1965.
Juara Qari (Lelaki) dan Qariah (Perempuan) dewasa bagi tahun ini ialah Ustaz Ahmad Daniyal Mohd Rizal, 31 tahun, dan Ustazah Atii Qah Suhaimi, 33 tahun, yang dipilih daripada sekitar 40 peserta.
Mereka menerima anugerah masing-masing daripada Pengerusi QuranSG, Ustaz Mohamed Ali Atan, dan Pengerusi MTTQSG, Encik Juraiman Rahim.
Ustaz Ahmad Daniyal akan mewakili Singapura di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-53, yang akan berlangsung dari 5 hingga 12 Oktober di Kuala Lumpur.
Ustazah Atii Qah pula tidak dapat turut serta kerana telah mewakili Singapura pada 2023 dan syarat MTHQA tidak membenarkan peserta berulang bagi dua tahun berturut-turut.
Bercakap dengan Berita Harian (BH), Ustaz Ahmad Daniyal, yang bertugas sebagai pegawai pendidikan di Masjid Khalid, berkata beliau membuat persiapan secara mental dan fizikal.
Menjalankan latihan membaca Al Quran secara dalam talian atau fizikal, Ustaz Ahmad Daniyal akan meluangkan masa setiap hari untuk berlari anak, berenang atau berbasikal.
Menurut beliau, latihan sedemikian telah banyak membantunya dalam segi pernafasan.
“Ini bagi mempersiapkan diri saya apabila saya di pentas, di mana apa sahaja boleh berlaku,” kata Ustaz Ahmad Daniyal.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada ayahnya, Ustaz Mohd Rizal Hussain, yang merupakan pemenang peraduan MTTQ pada tahun 1990-an.
Apabila ditanya tentang perasaannya menjadi johan Qari setempat tahun ini, Ustaz Ahmad Daniyal berkata:
“Senyuman yang terukir di wajah isteri dan anak-anak saya menjadi satu tanda kejayaan bagi saya,” kata Ustaz Ahmad Daniyal.
Ustazah Atii Qah pula berkata: “Kejayaan ini bukanlah penghujung. Ia satu langkah untuk saya untuk memperbaiki lagi bacaan saya.”
Dalam ucapannya, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir turut memberi pesanan kepada pemenang MTTQ:
“Saya berharap ini akan memberi inspirasi kepada anda untuk terus melakukan yang terbaik dalam hidup anda dan dalam masyarakat.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg