Usaha memperkasa rakyat Singapura bukan sahaja tanggungjawab pemerintah, tetapi memerlukan penglibatan seluruh masyarakat, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Ini dapat dilakukan sekiranya setiap individu memainkan peranan masing-masing bagi menyokong golongan kurang bernasib baik sambil bersifat murah hati, katanya pada satu sesi Majlis Makan Malam Amal pertama anjuran pertubuhan tidak mengaut untung, Hao Ren Hao Shi (HRHS), di Hotel Grand Copthorne Waterfront, pada 29 September.
Menurut Encik Wong, sikap menyokong golongan memerlukan itu penting demi mengekalkan perpaduan negara dan sejajar dengan prinsip ‘Kita Dahulu’, yang Singapura ingin semai dalam rakyatnya.
“Semangat ini bukan ke arah sesuatu yang mementingkan diri sendiri, tetapi demi masyarakat luas dalam menjaga satu sama lain agar dapat terus maju bersama sebagai satu masyarakat,” ujar beliau, yang juga Menteri Kewangan.
HRHS diuruskan sepenuhnya dan disokong sekumpulan sukarelawan yang penuh nyala rasa, disatukan oleh pengasasnya, Encik Anson Ng.
Menerusi semangat relawan ini, HRHS ditubuhkan pada April 2018 dan bekerjasama dengan sebuah lagi badan kemasyarakatan dan bukan politik, Apex Clubs of Singapore, untuk mengagihkan keperluan dapur kepada keluarga memerlukan di Redhill Close.
Menurut Encik Wong, usaha kemasyarakatan seperti ini menonjolkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Singapura dan sekali gus mengelakkan perpecahan penduduk yang menimpa negara lain.
“Meskipun dunia semakin huru-hara, kita mahu Singapura kekal tenang, aman dan stabil,” katanya sambil menambah kestabilan Singapura selama ini bukanlah berlaku “secara kebetulan”.
Turut menyerikan majlis itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua, serta Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Cai Yinzhou.
Mereka hadir bersama lebih 500 tetamu yang memeriahkan majlis jamuan makan malam tersebut.
Menurut HRHS, lebih $1.8 juta berjaya dikumpulkan dengan jumlah ini melepasi sasaran sebanyak $1.5 juta.
Semua hasil kutipan dana akan disalurkan bagi menyokong program utama HRHS, yang setakat ini dimanfaatkan lebih 30,000 penerima bantuan di serata negara.
Antara program tersebut termasuk inisiatif Mobile Groceries yang mengirim barangan makanan dan keperluan asas kepada 400 hingga 600 isi rumah setiap hujung minggu.
Dengan cara ini, golongan kurang bernasib baik seperti warga emas dan mereka yang mempunyai masalah pergerakan dapat menerima sokongan secara konsisten tanpa halangan jarak fizikal, kata HRHS.
Selain itu, HRHS juga mengendalikan dua Happy Marts yang berfungsi seperti pasar masyarakat kecil-kecilan di kawasan Stirling Road dan Fernvale.
Lebih 800 keluarga dapat membeli barangan harian menggunakan kredit yang disediakan, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk memilih barangan mengikut keperluan masing-masing, kata HRHS.
Encik Ng, yang juga Pengerusi HRHS, berkata:
“Dalam masyarakat yang semakin menua, adalah penting untuk kita membina budaya belas kasihan, terutama sekali dalam kalangan belia.
“Jamuan makan malam ini juga lebih daripada sekadar satu perhimpunan tetapi bukti kami dapat bersatu dalam membina Singapura yang penyayang dan terangkum.”
Orang ramai masih boleh menyalurkan sumbangan kepada HRHS melalui laman giving.sg (https://www.giving.sg/donate/campaign/hrhscharitydinner-25) sehingga 12 Oktober, atau melalui PayNow ke UEN: 202222684W.
Sumbangan sekurang-kurangnya $10 layak menerima potongan cukai sebanyak 250 peratus dan dipadankan di bawah Program Pemadanan Toteboard yang Dipertingkatkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg