Serangan ke atas balai polis di Johor baru-baru ini adalah satu peringatan menggerunkan bahawa ancaman pengganasan kekal tinggi, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 21 Mei.
Dalam satu catatan Facebook, beliau mengingatkan rakyat Singapura agar terus berwaspada terhadap ideologi pelampau sedemikian daripada mendapat tempat di sini.
Ini memandangkan terdapat elemen pengganas di peringkat sedunia yang menggunakan konflik berterusan di Timur Tengah untuk “menyebarkan retorik radikal mereka dan menghasut keganasan”, lapor The Straits Times (ST).
“Secara khusus, individu yang menjadi radikal secara sendiri menjadi satu kebimbangan yang meningkat, terutama dalam kalangan belia kita.
“Sepanjang dua tahun lalu, empat remaja (berusia bawah 20 tahun) yang menjadi radikal secara sendiri, ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” kata Encik Wong, selepas diberi taklimat mengenai perkembangan terkini itu daripada agensi keselamatan Singapura.
Pada 17 Mei, seorang lelaki membunuh dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi pegawai, di sebuah balai polis di Ulu Tiram, Johor, sebelum ditembak mati.
Suspek, yang mulanya dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI), kemudian didapati bertindak sendiri, kata Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Siasatan terhadap serangan itu masih dijalankan dan motif penyerang masih tidak jelas, kata Encik Wong.
Memandangkan keadaan ancaman lebih tinggi menyusuli serangan di Ulu Tiram, Singapura telah meningkatkan langkah keselamatan, termasuk di pusat pemeriksaan negara, katanya.
“Agensi keselamatan kita akan terus memantau perkembangan keselamatan di peringkat sedunia dan serantau dengan teliti,” tambah Encik Wong.
Dalam satu perkembangan terkini, Madrasah Luqmanul Hakim di Jalan Rabani, di Kampung Sungai Tiram, Johor, yang terletak berhampiran rumah suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, mungkin dirobohkan kerajaan Johor atas faktor keselamatan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan polis membuat pertimbangan itu kerana kebimbangan bahawa madrasah yang ditutup pada 2001 itu disalah guna oleh kumpulan tertentu bagi kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Beliau berkata sejak madrasah itu ditutup lebih 20 tahun lalu, MAIJ tidak menerima sebarang permohonan untuk memperbaharui pendaftaran pusat itu.
“
“Agensi keselamatan kita akan terus memantau perkembangan keselamatan di peringkat sedunia dan serantau dengan teliti.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg