Asean boleh bekerjasama untuk mengelak jerebu rentas sempadan daripada berulang di rantau ini, termasuk melalui pertukaran maklumat dan bukti mengenai pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kebakaran, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

“Kebakaran boleh berlaku di sebarang negara dalam Asean”, kata beliau dalam ucapannya di sesi rahat pada hari pertama Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila, Filipina, pada 15 November.

“...kita mahu menyampaikan mesej yang sangat jelas kepada semua syarikat bahawa ini bukanlah cara yang betul untuk meneroka hutan.

“Terdapat amalan yang mampan, dan sekiranya mana-mana pihak didapati melakukan perbuatan ini di seluruh Asean, kita akan berkongsi maklumat, kita akan mengambil tindakan, dan kita akan memastikan syarikat-syarikat tersebut bertanggungjawab,” katanya lagi.

Menambah, Encik Wong berkata Asean boleh bertindak menerusi Pusat Penyelarasan Asean bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) dan berharap mekanisme tersebut diperkukuh.

ACC THPC merupakan sebuah hab serantau khusus yang berpangkalan di Indonesia bagi mengukuhkan kerjasama dan penyelarasan dalam menangani kebakaran tanah dan hutan serta jerebu rentas sempadan.

Singapura dan Indonesia juga membentuk pasukan petugas bersama untuk menyelaras dan berkongsi maklumat dalam usaha menjejak syarikat yang membakar hutan dan menyebabkan jerebu di rantau ini.

Diburukkan kemarau angkara fenomena cuaca El Nino, asap berbahaya daripada hutan dan tanah gambut yang terbakar di Indonesia merebak ke negara-negara jiran sejak September 2026.

Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengisytiharkan jerebu sebagai krisis alam sekitar bersama, dan berikrar mengambil tindakan lebih tegas terhadap pembakaran haram.

Encik Wong melahirkan penghargaan atas usaha Indonesia dalam menangani kebakaran hutan meskipun berdepan keadaan cuaca yang mencabar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kepimpinan anda (Encik Prabowo) dalam mengambil usaha yang belum pernah dilakukan sebelum ini bagi menangani kebakaran hutan,” kata beliau.

“Keadaannya agak buruk tahun ini, disebabkan oleh perubahan iklim dan musim El Nino yang sangat luar biasa sehingga mengakibatkan musim kemarau yang amat kering.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada ramai anggota kecemasan dan pasukan bomba Indonesia, yang bertungkus-lumus bekerja dalam keadaan yang sangat berbahaya.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka, dan kami mendoakan kesembuhan segera buat mereka yang tercedera,” tambah Encik Wong.

Dalam usaha menangani isu jerebu, Indonesia telah mengerahkan kira-kira 71,000 anggota pasukan darat dan menggerakkan sekitar 51 unit pesawat udara, mempergiat operasi pemadaman kebakaran termasuk melalui pengeboman air, serta menyiasat lebih daripada 50 syarikat.

Singapura pula mengeluarkan Notis Langkah Pencegahan (PMN) kepada 10 syarikat di Indonesia yang disyaki terkait menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Ia juga memperkukuh undang-undang di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) baru-baru ini antara lain untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap entiti yang didapati bersalah.

Dalam ucapannya itu, Encik Wong turut menggesa Thailand dan Kemboja, yang sedang berbalah, supaya mencari huraian secara berdialog.

Beliau menambah bahawa Singapura akan terus menyokong proses tersebut, terutamanya apabila negara ini mengambil alih jawatan pengerusi Asean dan kepimpinan Pasukan Pemerhati Asean pada 2027.

Encik Wong juga menyeru Myanmar yang sedang menghadapi krisis domestik untuk bekerjasama dengan Asean untuk mencapai keamanan yang berkekalan.

“Perbezaan akan sentiasa wujud dalam kalangan negara anggota Asean, namun sekiranya kita dapat mencari jalan untuk menguruskan perbezaan tersebut secara baik, berusaha ke arah penyelesaiannya, serta terus menegakkan prinsip dan komitmen yang telah kita persetujui bersama, kesepaduan dan perpaduan kita pada akhirnya merupakan kekuatan terbesar kita,” kata Encik Wong.

Hari pertama Sidang Kemuncak Asean ke-49 dihadiri kesemua 11 pemimpin Asean, termasuk Singapura, Filipina, Malaysia, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste. Myanmar diwakili Ketua Pengarah Jabatan Ehwal Asean di bawah Kementerian Ehwal Luarnya.

Majlis turut memperkenalkan bendera dan lambang Asean yang dikemas kini, iaitu penampilan 11 tangkai padi bagi mencerminkan penyertaan Timor-Leste yang secara rasmi menyertai blok itu pada 2025.