Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura akan terus sokong misi PBB, platform penting satukan dunia tangani cabaran global

Sep 3, 2024 | 5:30 AM
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres (kiri), bertemu dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa lawatan rasmi beliau ke Singapura dari  31 Ogos hingga 2 September. Ini merupakan lawatan rasmi pertama Encik Guterres ke Singapura sejak menyandang jawatan Setiausaha Agung PBB pada 2017.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres (kiri), bertemu dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa lawatan rasmi beliau ke Singapura dari  31 Ogos hingga 2 September. Ini merupakan lawatan rasmi pertama Encik Guterres ke Singapura sejak menyandang jawatan Setiausaha Agung PBB pada 2017. - Foto MDDI

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan sebuah institusi unik yang mempunyai kepentingan khusus kepada Singapura, dan negara ini komited untuk memperkukuh dan terus menyokong pertubuhan itu dalam misinya, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Beliau berkata PBB merupakan sebuah platform bagi negara-negara berhimpun untuk menangani cabaran bersama, dan tiada satu negara pun boleh menyelesaikan cabaran global secara bersendirian, lebih-lebih lagi di tengah-tengah konflik dan ketegangan geopolitik yang berlaku sekarang.

Encik Wong berkata demikian dalam ucapannya di majlis jamuan tengah hari rasmi sempena lawatan Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, ke sini dari 31 Ogos hingga 2 September.

Lawatan ke Singapura ini merupakan yang pertama bagi Encik Guterres sejak menyandang jawatan setiausaha agung itu pada 2017, dan diadakan sebelum berlangsungnya Sidang Puncak Masa Depan yang dirancang pada 22 dan 23 September – mesyuarat PBB peringkat tinggi dengan anggota negara dijangka memperbaharui sokongan mereka untuk fahaman berbilang hala, atau multilateralisme, serta pembangunan mampan.

Encik Wong berkata apabila Singapura menyertai PBB pada 1965, negara ini berikrar memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada prinsip dan ideal Piagam PBB yang menjaminkan kesejahteraan, keselamatan dan kewibawaan negara.

“Komitmen ini kekal sama pentingnya hari ini seperti dahulu. Dunia kini lebih saling terhubung berbanding sebelum ini. Kita menghadapi kuasa yang tidak menghormati sempadan, menguji keupayaan kolektif kita untuk bertindak balas.

“Perubahan iklim membentuk semula sekitaran kita. Penyakit berjangkit mengancam kemanusiaan bersama kita. Dan, teknologi menimbulkan risiko baru meskipun ia menawarkan peluang baru.

“Tiada satu pun negara yang boleh menyelesaikan cabaran global ini sendiri. Mereka memerlukan kerjasama antarabangsa berterusan, terutamanya di PBB,” kata beliau.

Bagaimanapun, Encik Wong berkata konflik dan ketegangan geopolitik yang semakin mendalam menghakis kepercayaan dan menjadikan ia lebih mencabar bagi negara-negara bersatu untuk memupuk huraian berbilang negara.

Kepimpinan Encik Guterres dalam waktu sukar ini telah menjadi contoh baik, kata Encik Wong, sambil berkata beliau kekal teguh dalam komitmennya untuk menegakkan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

Sebagai sebuah negara kecil, Encik Wong berkata Singapura amat menghargai komitmen beliau itu kerana sistem pelbagai hala berasaskan peraturan adalah penting untuk memelihara kedaulatan.

Beliau menambah bahawa Encik Guterres juga merupakan penyokong kuat kesaksamaan dan keadilan global, mengingatkan dunia untuk tidak mengabaikan cabaran seperti kemiskinan dan kelaparan walaupun sedang tugas dimulakan untuk menangani isu seperti kecerdasan buatan (AI).

“Singapura berkongsi komitmen anda untuk mengelakkan ketidaksamaan dan jurang digital daripada terus meluas, dan untuk menjadikan pembangunan mampan satu kenyataan untuk semua negara,” kata beliau.

Encik Wong berkata Encik Guterres juga tidak jemu dalam usaha memperkukuh multilateralisme.

Ini termasuk dalam memulakan Sidang Puncak Masa Depan yang merupakan peluang penting untuk memperbaharui struktur pelbagai hala dan memastikan PBB kekal sesuai dengan tujuannya dan dapat menangani cabaran hari ini dan esok.

Menekankan kepentingan PBB, Encik Wong berkata pertubuhan itu merupakan satu-satunya badan sejagat yang mempunyai penyertaan dan legitimasi universal.

“Rangka kerja PBB menghormati kemerdekaan anggota negaranya dan memberi setiap daripada mereka suara dalam hal ehwal antarabangsa; pada masa yang sama, ia mengiktiraf kebergantungan negara-negara dan menyediakan platform bagi negara menangani cabaran bersama.

“Singapura komited memperkukuh PBB. Kami akan terus melakukan apa yang kami mampu untuk menyokong kepimpinan anda dan misi PBB. Kami akan menawarkan idea, membina jambatan dan merunding huraian,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg