Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura, India bakal lancar hala tuju kerjasama

Langkah di bawah Perkongsian Strategik Menyeluruh rangkumi pelbagai bidang ekonomi
Sep 4, 2025 | 4:04 PM
Lawrence Wong, India,
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ditemu bual Editor Hal Ehwal Luar Hindustan Times, Encik Rezaul Hasan Laskar, di Hotel Taj Mahal, New Delhi, pada 3 September. - Foto MDDI

Singapura dan India telah menunjukkan kemajuan dalam pelbagai bidang kerjasama dan bersedia melancarkan hala tuju bagi menetapkan arah serta visi jelas bagi peringkat seterusnya dalam hubungan dua hala itu, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 3 September semasa lawatan rasmi beliau ke India.

Hala tuju berkenaan – yang dijangka diumumkan oleh Encik Wong bersama Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, pada 4 September – merangka kerjasama dalam bidang seperti semikonduktor, keterhubungan kelautan dan digital, serta industri angkasa lepas.

Encik Wong berkata demikian dalam temu bual dengan Hindustan Times semasa lawatan rasmi pertamanya ke India sebagai Perdana Menteri. 

Transkrip temu bual itu telah diterbitkan di laman web Pejabat Perdana Menteri (PMO), lapor The Straits Times (ST).

Encik Wong berada di New Delhi hingga 4 September atas jemputan Encik Modi bagi menandakan 60 tahun hubungan diplomatik antara Singapura dengan India.

Menurut Encik Wong, banyak idea bagi kerjasama timbul hasil daripada dialog Meja Bundar Menteri India-Singapura (ISMR), iaitu satu wadah perbincangan berterusan yang dimulakan pada 2022 untuk “menyuntik tenaga baru” ke dalam hubungan dua hala tersebut.

ISMR bertujuan memajukan hubungan tersebut, memandangkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (Ceca) telah ditandatangani lebih 20 tahun lalu.

Justeru, apabila India dan Singapura bersetuju pada 2024 untuk mempertingkatkan hubungan dua hala ke peringkat Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP), “ia bukan sekadar nama, tetapi juga (diterjemahkan) kepada tindakan nyata”, kata Encik Wong.

“Dan inilah asas kerjasama India-Singapura – bukan sekadar kata-kata atau retorik, tetapi juga dalam tindakan dan hasil yang konkrit,” tambah beliau.

“Dan saya percaya, dalam dunia yang amat mencabar ini, hubungan dua hala antara kedua-dua negara kita menjadi semakin penting.”

Mengenai kerjasama dalam industri semikonduktor, Encik Wong berkata kedua-dua pihak telah menandatangani satu perjanjian dan mencatat kemajuan dalam tiga bidang berbeza. 

Antaranya termasuk mewujudkan laluan hijau bagi barangan semikonduktor seperti bahan mentah, peralatan dan bekalan lain; menyokong India dalam latihan juruteknik dan pekerja industri melalui pusat latihan bersama di Gujarat; serta bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Encik Wong menambah bahawa beliau optimis terhadap prospek pertumbuhan India dalam jangka panjang, meskipun wujud ketidakpastian geopolitik.

Ini didorong penduduk muda negara itu, kelas pertengahan yang semakin meningkat, sektor teknologi yang dinamik, serta pemerintah yang komited terhadap pembaharuan.

Beliau menambah bahawa keyakinan ini sudah lama wujud, disokong oleh rekod prestasi terbukti serta tindakan konkrit negara itu, termasuk pertumbuhan perdagangan antara kedua-dua negara sejak Ceca ditandatangani pada 2005. 

“Oleh itu, kami akan terus melabur di India. Kami akan terus yakin terhadap prospek India bagi masa akan datang,” kata beliau.

Singapura merupakan pelabur asing terbesar di India, menyumbang kira-kira satu perempat daripada aliran ekuiti pelaburan langsung asing India sejak 2000.

Apabila ditanya bagaimana Singapura boleh mengharungi ketegangan antara kuasa ekonomi besar, Encik Wong berkata satu langkah proaktif yang boleh dilakukan ialah bekerjasama dengan negara-negara yang sefahaman.

“(Kami akan) bekerjasama dengan negara-negara sefahaman untuk memperkukuh hubungan, mengukuhkan ekonomi berasaskan kerangka peraturan perdagangan, serta mencari penyelesaian yang saling menguntungkan,” jelas Encik Wong.

Beliau menekankan bahawa langkah ini adalah sesuatu yang boleh dilakukan oleh Singapura dan India, memandangkan perkongsian strategik kedua-dua negara itu dibina dengan asas persahabatan dan kepercayaan selama 60 tahun.

“Dalam dunia yang amat tidak menentu ini, terdapat lebih banyak sebab untuk kita memperkukuh lagi hubungan penting antara India dengan Singapura, dan saya menantikan (peluang) untuk melakukan sedemikian bersama Perdana Menteri Modi,” kata Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg