Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura yakin dengan masa depan bersama India

Sep 4, 2025 | 1:41 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tengah); diapit Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang; Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow; serta Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke India, Encik Simon Wong (berbaju batik merah); bersama warga Singapura dalam majlis makan malam bagi menyambut SG60 di Hotel Taj Mahal, New Delhi, pada 3 September.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tengah); diapit Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang; Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow; serta Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke India, Encik Simon Wong (berbaju batik merah); bersama warga Singapura dalam majlis makan malam bagi menyambut SG60 di Hotel Taj Mahal, New Delhi, pada 3 September. - Foto ST

NEW DELHI: Singapura yakin dengan masa depan India, dan keyakinan itu dibuktikan melalui tindakan konsisten serta rekod kerjasama kukuh republik tersebut, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 3 September.

Syarikat dari kedua-dua negara boleh memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, tenaga hijau dan semikonduktor, ujar Encik Wong dalam catatan di Facebook pada hari pertama lawatannya di New Delhi.

Encik Wong, yang melakukan lawatan rasmi ke India buat kali pertama sejak memegang jawatan perdana menteri, menekankan bahawa Singapura telah menjadi pelabur asing terbesar di India sejak 2018 serta rakan dagang utama India dalam Asean.

Encik Wong sebelum itu bertemu pemimpin daripada kumpulan sokongan perniagaan dan industri pada 3 September, dalam satu perbincangan yang disifatkannya sebagai bermanfaat untuk memperdalam kerjasama antara syarikat kedua-dua negara.

Kerjasama sedemikian bukan sahaja akan membuka peluang baru bagi kedua-dua ekonomi, malah turut mengukuhkan daya saing dan pertumbuhan Asia secara keseluruhan, jelas Encik Wong.

Pada Ogos, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, mengetuai delegasi enam menteri ke India, di mana mereka bersama rakan sejawat membincangkan kerjasama dalam bidang seperti tenaga hijau, ammonia dan hidrogen, perdagangan karbon rentas sempadan serta kemungkinan membangunkan ekosistem semikonduktor. 

Antara bidang kerjasama yang dibincangkan ketika Mesyuarat Meja Bundar Menteri India-Singapura yang ketiga itu merangkumi usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang baru yang sedang berkembang.

Perbincangan itu menjadi asas bagi Singapura dan India dalam usaha merangka hala tuju bagi melaksanakan Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP) antara kedua-dua negara, lapor The Straits Times (ST).

Kedua-dua negara telah bersetuju mempertingkat hubungan diplomatik ke peringkat CSP semasa lawatan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, ke Singapura pada September 2024.

Pada 3 September, Encik Wong turut melawat Tugu Peringatan Raj Ghat bagi memberi penghormatan kepada pahlawan kemerdekaan India, Mahatma Gandhi.

Beliau ditemani isterinya, Cik Loo Tze Lui; bersama Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow; serta Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kanan), dan isterinya, Cik Loo Tze Lui (dua dari kiri), memberi penghormatan kepada pahlawan kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, di New Delhi, pada 3 September 2025. Turut hadir ialah Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow (tengah); Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang (kiri); serta setiausaha Jawatankuasa Tugu Peringatan Rajghat Samadhi, Encik Rajnish Kumar.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kanan), dan isterinya, Cik Loo Tze Lui (dua dari kiri), memberi penghormatan kepada pahlawan kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, di New Delhi, pada 3 September 2025. Turut hadir ialah Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow (tengah); Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang (kiri); serta setiausaha Jawatankuasa Tugu Peringatan Rajghat Samadhi, Encik Rajnish Kumar. - Foto ST

Pada sebelah petang, Encik Wong bertemu dengan presiden parti pemerintah India, Bharatiya Janata Party (BJP), Encik Jagat Prakash Nadda, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Keluarga serta Menteri Bahan Kimia dan Baja.

Kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai keutamaan pemerintah India dan perkembangan negara itu, kata Encik Wong dalam hantaran di wadah media sosial X.

Encik Wong kemudian menghadiri satu majlis makan malam di New Delhi yang dihadiri lebih 200 warga Singapura yang menetap di sana.

Majlis di Hotel Taj Mahal itu turut menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Singapura dengan India.

Lawatan Encik Wong ke India berlangsung di tengah siri pertemuan peringkat tinggi antara pemimpin kedua-dua negara sempena menandakan enam dekad hubungan dua hala.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), tiba di New Delhi pada petang 2 September dan disambut oleh Menteri Negara (Kewangan) India, Encik Pankaj Chaudhary.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), tiba di New Delhi pada petang 2 September dan disambut oleh Menteri Negara (Kewangan) India, Encik Pankaj Chaudhary. - Foto MDDI

Beliau tiba di New Delhi pada petang 2 September dan disambut oleh Menteri Negara (Kewangan) India, Encik Pankaj Chaudhary.

Pada 4 September, Encik Wong dijangka bertemu Encik Modi, dengan perbincangan mungkin tertumpu kepada penerokaan langkah konkrit untuk memajukan kerjasama Singapura-India melalui CSP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg