PM Wong: S’pura, Jepun sedia jalin kerjasama strategik lebih kukuh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura, Jepun sedia jalin kerjasama strategik lebih kukuh

Perkembangan dalam AI, teknologi kuantum dan angkasa lepas di dua negara buka peluang baru dalam penyelidikan, pelaburan, peluang kerja
Mar 19, 2026 | 5:14 PM

PM Wong: S’pura, Jepun sedia jalin kerjasama strategik lebih kukuh

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapura-Jepun, kerjasama strategik, hubungan dua hala, Lawatan Lawrence Wong Tokyo, hubungan Singapura Jepun, Perkongsian Strategik 2026, tenaga nuklear Singapura, AI, kesan perdagangan Selat Hormuz
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bertemu Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, di Tokyo pada 18 Mac. - Foto ZAOBAO

TOKYO: Singapura dan Jepun mempunyai pandangan yang sama mengenai kepentingan perdagangan bebas dan terbuka, serta kerjasama antarabangsa.

Kedua-dua negara turut berkongsi minat dalam bidang pertumbuhan baru, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 18 Mac.

Walaupun Singapura tidak melupakan sejarahnya dengan Jepun, Singapura masih boleh melangkah ke hadapan untuk menjalin hubungan yang saling menguntungkan dengan Jepun.

Ia seperti yang dilakukan sepanjang beberapa dekad, kata Encik Wong, ketika menggulung lawatan rasminya selama tiga hari ke Tokyo.

Ini merupakan lawatan pertama Encik Wong ke Jepun sebagai Perdana Menteri Singapura, dan merupakan sebahagian siri kunjungan pengenalannya ke negara Asean dan rantau lain dalam mempertingkat hubungan dua hala di merata dunia.

Kedua-dua Singapura dan Jepun telah lama menjalin hubungan erat dan sama-sama mempercayai kepentingan perdagangan bebas dan terbuka, serta menjunjung tinggi peraturan dan undang-undang antarabangsa.

Encik Wong menambah, kedua-dua pihak juga sedang berkembang dalam sektor seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi kuantum dan angkasa lepas, serta keselamatan siber.

Ini merupakan peluang baru yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara, termasuk dalam penyelidikan, pelaburan dan penciptaan peluang pekerjaan, ujarnya.

Beliau berucap kepada media Singapura di Tokyo selepas bertemu dengan rakan sejawatannya, Cik Sanae Takaichi, ketika mereka membincangkan pelbagai bidang kerjasama dan mengumumkan peningkatan hubungan kepada perkongsian strategik.

Mengenai kerjasama Singapura dengan Jepun dalam rancangan keselamatan tenaga jangka panjang, Encik Wong menyatakan kedua-dua negara merupakan pengimport tenaga dan pengguna gas asli cecair (LNG).

Selain itu, Jepun mempunyai pengalaman dan kepakaran yang luas dalam tenaga rendah karbon dan juga sedang melihat kepada kepelbagaian memanfaatkan ammonia, hidrogen dan kuasa nuklear, kata Encik Wong.

“Memandangkan kami sedang mengkaji kemungkinan menggunakan kuasa nuklear awam di Singapura, ini juga merupakan bidang yang kami ingin belajar daripada Jepun.”

Meskipun dengan perubahan dalam pentadbiran, Encik Wong menambah, pelbagai daya usaha untuk bekerjasama akan tetap berterusan.

Sementara itu, menyentuh tentang keadaan di Timur Tengah, pemerintah Singapura bersedia melaksanakan langkah di luar apa yang telah diumumkan pada Belanjawan 2026, sekiranya terdapat keperluan, kata Encik Wong.

Pemerintah mempunyai sumber berbuat demikian, tetapi buat masa ini, isi rumah dan perniagaan akan rasai kesan langkah yang telah diumumkan, katanya.

Ia termasuk rebat utiliti dan pelbagai bantuan perniagaan.

“Kami ingin melihat langkah-langkah ini dilaksanakan terlebih dahulu,” kata Encik Wong.

“Kami akan terus memantau keadaan kerana... ia sangat tidak menentu, dan kami sedang melihat semua kemungkinan dan situasi yang boleh berlaku,” ujarnya.

Menjawab soalan sama ada lebih banyak bantuan sedang dipertimbangkan bagi rakyat Singapura dalam menghadapi kenaikan harga tenaga, Encik Wong berkata keadaan semasa tidak menentu, memandangkan operasi tentera Amerika Syarikat – yang pada asalnya dikatakan akan selesai dalam masa beberapa minggu kini sudah memasuki minggu ketiga.

Amerika dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari.

Iran kemudian membalas serangan tersebut, dan sejak itu turut mengganggu perkapalan melalui Selat Hormuz, laluan laut bagi sekitar satu perlima minyak sejagat.

“Jika Selat Hormuz terus disekat untuk tempoh yang lebih lama, saya rasa ini akan membawa akibat yang teruk bagi seluruh ekonomi sejagat,” katanya.

Ini akan memberi kesan kepada sektor seperti baja, bekalan makanan, bahkan helium.

Sebanyak 30 peratus helium dunia, yang digunakan dalam mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan pengeluaran semikonduktor, melalui selat tersebut, tambahnya.

Dengan harga tenaga sejagat yang meningkat, harga elektrik Singapura juga berkemungkinan akan naik, kata Dr Tan sambil menggesa rakyat Singapura agar berjimat cermat dalam penggunaan tenaga dan menggunakan peralatan yang lebih cekap tenaga.

Encik Wong juga berkata pada 18 Mac, Singapura akan terus menjalin persahabatan dengan China dan Jepun, sambil menambah, mempunyai hubungan baik dengan sesebuah negara tidak bermakna berbuat demikian atas kerugian negara lain.

Singapura tidak melihat hubungan diplomatiknya sebagai satu urusan yang hanya boleh menguntungkan satu pihak sahaja, katanya sebagai respons kepada soalan daripada media tempatan mengenai ketegangan antara dua kuasa Asia itu, dan mengenai bagaimana China mungkin bertindak balas terhadap lawatan rasminya ke Jepun.

“Memandangkan kami sedang mengkaji kemungkinan menggunakan kuasa nuklear awam di Singapura, ini juga merupakan bidang yang kami ingin belajar daripada Jepun.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg