Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura perlu upaya fikir dengan jelas bahaya masa depan berikutan tarif AS

Apr 4, 2025 | 9:34 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengingatkan rakyat Singapura agar bersedia menghadapi lebih banyak kejutan yang akan datang, susulan tarif terkini Amerika Syarikat.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengingatkan rakyat Singapura agar bersedia menghadapi lebih banyak kejutan yang akan datang, susulan tarif terkini Amerika Syarikat. - Foto Tangkap Skrin YouTube LAWRENCE WONG

Singapura mesti lebih berupaya berfikir dengan jelas tentang bahaya masa hadapan, sedang institusi dunia menjadi kian lemah dan norma antarabangsa terhakis, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Menyentuh tentang berita terkini mengenai keputusan Amerika Syarikat untuk mengenakan tarif ke atas banyak negara termasuk Singapura, Encik Wong berkata negara ini mesti bersedia berhadapan dengan lebih banyak kejutan yang akan datang.

“Kita mesti lebih berupaya berfikir dengan jelas tentang bahaya yang sedang meningkat di dunia. Institusi sejagat kian lemah, norma antarabangsa sedang terhakis.

“Lebih banyak negara akan bertindak berdasarkan kepentingan sendiri, dan menggunakan kekerasan atau tekanan untuk mendapatkan keinginan mereka. Inilah realiti dunia hari ini,” kata beliau dalam satu video selama lima minit yang dimuat naik di akaun media sosialnya pada 4 April.

Pada 2 April, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan keputusannya untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas kebanyakan barangan yang masuk ke negaranya dari Singapura serta rakan utama, dengan cukai lebih tinggi bagi kebanyakan negara lain.

Sambil menyifatkan pengumuman itu sebagai “perubahan seismik dalam aturan sejagat”, Encik Wong menekankan betapa dengan langkah itu, era globalisasi berasaskan peraturan dan perdagangan bebas telah berakhir.

“Selama beberapa dekad, Amerika adalah asas bagi ekonomi pasaran bebas dunia.

“Ia memperjuangkan dagangan bebas, dan mengetuai usaha untuk membina sistem dagangan pelbagai hala, berdasarkan peraturan dan norma yang jelas, di mana negara boleh mencapai manfaat saling meraih kemenangan melalui perdagangan.

“Sistem Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) ini membawa kestabilan dan kemakmuran yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada dunia – dan kepada Amerika sendiri,” tambah beliau.

Dalam video itu, Encik Wong berkata Singapura akan terus berjaga-jaga dan menguatkan rangkaian perkongsian dengan negara-negara yang sehaluan.

Menurut Encik Wong, Singapura tidak akan mengenakan tarif tindak balas.

“Namun, negara-negara lain mungkin tidak akan bertindak dengan keprihatinan yang sama. Kemungkinan berlakunya perang perdagangan sejagat yang besar semakin meningkat,” ujarnya.

Kesan tarif yang lebih tinggi, ditambah dengan ketidaktentuan mengenai tindakan yang mungkin diambil oleh negara-negara lain, akan memberi tekanan besar kepada ekonomi dunia.

Perdagangan antarabangsa dan pelaburan akan terjejas, dan pertumbuhan sejagat akan perlahan, tambahnya.

“Singapura akan terkesan lebih teruk berbanding negara lain kerana pergantungan kita yang tinggi terhadap perdagangan.

“Kali terakhir dunia mengalami keadaan seperti ini adalah pada 1930-an. Perang perdagangan meningkat menjadi konflik bersenjata, yang akhirnya membawa kepada Perang Dunia Kedua,” kata Encik Wong.

Beliau menambah tiada sesiapa yang dapat meramalkan bagaimana keadaan semasa ini akan berkembang dalam beberapa bulan atau tahun akan datang.

Encik Wong mengakhiri video tersebut dengan menggesa rakyat Singapura supaya kekal tekad dan bersatu, agar dapat terus teguh dalam dunia yang penuh cabaran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg