Tarif yang dikenakan Amerika Syarikat akan memberi kesan besar kepada ekonomi global dan mungkin membawa kepada perang perdagangan global jika negara-negara lain memberi tindak balas, kata Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong.
Berucap pada pelancaran Pelan Induk Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee (2025-2030) di Yew Tee Square pada 5 April, Encik Wong memberi amaran kepada rakyat Singapura untuk bersedia menghadapi lebih banyak kejutan yang akan datang.
“Hari ini, Singapura berdiri di atas asas yang kukuh.
“Namun, kita semua tahu bahawa kita sedang memasuki dunia yang semakin berisiko dan sukar dijangka.
“Tarif yang baru sahaja diumumkan Amerika Syarikat bakal memberi kesan besar kepada ekonomi global dan sistem dunia secara keseluruhan,” katanya yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee.
Pada 2 April, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan tarif 10 peratus ke atas kebanyakan barangan yang masuk ke negaranya seperti Singapura serta rakan utama, dengan cukai lebih tinggi bagi kebanyakan negara lain.
“China sudah mengenakan tarif tindak balas dan saya yakin, negara lain dijangka ikut serta.
“Ini mungkin berakhir dengan perang dagang global besar-besaran.
“Jadi kita mesti mempersiapkan diri untuk berdepan dengan lebih banyak kejutan,” ujar Encik Wong.
Barangan dari China dikenakan tarif sebanyak 34 peratus, lantas China bertindak balas dengan pelbagai langkah, termasuk tarif sebanyak 34 peratus ke atas barangan Amerika, pada 4 April.
Oleh itu, beliau mengingatkan tentang pentingnya bagi Singapura untuk menghargai dan melindungi apa yang dimilikinya di sini.
“Dalam waktu seperti ini, adalah menjadi lebih penting untuk menghargai dan melindungi apa yang kita miliki di Singapura.
“Kita mempunyai semangat perpaduan dan solidariti yang kuat yang memastikan kita terus maju, tidak kira cabaran yang mendatang,” ujarnya.
Beliau turut yakin yang negara ini akan menghadapinya dengan ketabahan dan tekad, seperti yang dilakukan semasa pandemik.
“Jad walaupun awan gelap menyelubungi masa depan kita, kita masih boleh melihat ke hadapan dengan keyakinan dalam diri kita sendiri, kerana di Singapura, kita sentiasa menghadapi cabaran dengan ketabahan dan keazaman, seperti yang kita lakukan ketika kita mengatasi pandemik Covid,” katanya.
Dalam pada itu, berhubung projek di bawah pelan induk kawasan itu, Encik Wong, yang merupakan menteri utama bagi GRC Marsiling-Yew Tee berkata penduduk Marsiling dan Yew Tee akan mempunyai lebih banyak ruang masyarakat, taman dan kesalinghubungan yang lebih baik.
“Semua projek ini akan mengambil masa untuk disiapkan, pastinya lebih daripada lima tahun, tetapi kami akan memulakan kerja-kerja dalam beberapa tahun akan datang dan apabila selesai, ia akan mengubah seluruh GRC kami,” katanya.
Acara itu turut dihadiri AP GRC Marsiling-Yew Tee yang lain iaitu Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Encik Alex Yam dan Cik Hany Soh.
Digelar “Membina Masa Depan Bersama”, pelan induk tersebut menekankan kemajuan utama yang telah dicapai serta perancangan pembangunan masa hadapan di bawah tiga tema utama – memupuk masyarakat menyeluruh, meningkatkan kesalinghubungan dan kemudahan, serta menyegarkan dan mewujudkan sebuah kediaman yang ceria.
Antara projek yang akan selesai selepas lima tahun akan datang ialah dua stesen MRT pada Laluan Downtown (DTL) yang akan dibina berhampiran Yew Tee Village dan di Sungei Kadut yang bakal dibuka pada 2035.
Pusat Pemeriksaan Woodlands juga akan melalui kerja naik taraf untuk menangani kesesakan.
Kerja-kerja dijangka siap secara berperingkat mulai 2028, dengan kemudahan baru beroperasi sepenuhnya jelang 2032.
Padang lumba di Kranji juga akan dinaik taraf untuk menjadi kawasan perumahan dan rekreasi, di samping Daerah Eko Sungei Kadut.
Selain itu, Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) – sistem kereta api rentas sempadan antara Woodlands dengan Johor Bahru – dijangka selesai pada akhir 2026.
Taman Alam Mandai Mangrove dan Mudflat, yang merupakan taman simpanan terbesar di Singapura, akan selesai pada masa akan datang.
Kemudahan masyarakat berdekatan kawasan perumahan juga akan dibina termasuk Pembangunan Bersepadu Yew Tee.
Ia akan menempatkan kelab masyarakat, poliklinik, ruang niaga, plaza masyarakat, dan pilihan perumahan khusus untuk warga emas dan akan dibuka pada 2027.
Ruang masyarakat juga akan dipertingkat dengan pembinaan Kelab Masyarakat (CC) Marsiling dan kerja peningkatan pada CC Fuchun.
Dalam pada itu, sistem lampu pintar di semua blok HDB akan dilaksanakan dan lebih banyak titik pengecasan kenderaan elektrik akan ditambah menjelang 2025.
Kemudahan seperti laluan berbumbung, tanjakan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), ciri mesra warga emas dan laluan berbasikal melalui Marsiling dan Woodgrove baru sepanjang 18 kilometer akan dibina bagi meningkatkan kemudahan penduduk.
Encik Wong menambah pembangunan itu akan menjadikan Marsiling-Yew Tee lebih terhubung, lebih selesa dan lebih meriah.
Menurut sebuah kenyataan yang dikeluarkan Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee pada 5 April, mereka telah membantu penduduk melalui daya utama seperti MY $1 Deals, yang telah memanfaatkan lebih 10,000 isi rumah.
Barangan keperluan seperti minyak masak, telur dan beras ditawarkan pada harga $1 untuk meringankan kos sara hidup.
Pakej bantuan dan sokongan kepada keluarga yang memerlukan di sana akan diteruskan, kata kenyataan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg