Singapura dan Kota Vatican menikmati hubungan baik antara rakyat kededua negara, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Beliau berkata demikian selepas bertemu pemimpin Kota Vatican, yang juga ketua Gereja Katolik, Paus (Pope) Francis, di Bangunan Parlimen pada 12 September sempena rangka lawatan tiga hari pemimpin itu ke Singapura.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 12 September, Encik Wong mengatakan kededua pemimpin itu mengadakan perbincangan berkenaan peri pentingnya dialog silang agama dan keharmonian agama.
Beliau berkata: “Ini adalah bidang kepentingan bersama antara Singapura dengan Kota Vatican, dan kami mengharapkan penglibatan dan kerjasama berterusan dalam bidang kepentingan bersama.”
Beliau menambah bahawa sejarah hubungan kededua negara bermula sejak awal 1800-an, apabila acara ‘mass’ atau ‘perhimpunan penganut’ Katolik pertama diadakan di Singapura.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dalam satu hantaran di Facebook menyatakan susulan perbualannya dengan Paus Francis, ketua berusia 87 tahun itu “menekankan semula kepentingan kritikal keharmonian antara agama, pemeliharaan sesebuah ciptaan, dan terutamanya keperluan untuk keamanan”.
Paus Francis tiba di Singapura pada 11 September, kunjungan beliau buat kali pertama ke Singapura dengan negara ini menjadi persinggahan terakhir lawatannya ke rantau ini.
Beliau memulakan siri lawatannya ke Indonesia dan Papua New Guinea sebelum ke Singapura.
Beliau menghadiri acara perhimpunan penganut Katolik di Stadium Negara yang dihadiri sekitar 50,000 hadirin pada sebelah petang 12 September dan akan menghadiri sesi dialog silang agama bagi belia di Maktab Rendah Katolik pada 13 September sebelum berangkat pulang ke tanah air pada hari yang sama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg