Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pope Francis puji usaha S’pura kekal inklusif, usaha bangun rakyat

Anggap dasar perumahan, pendidikan dan kesihatan pamer komitmen pemerintah baiki hidup masyarakat
Sep 12, 2024 | 8:43 PM
Pemimpin Kota Vatican dan Ketua Gereja Katolik, Pope (Paus) Francis (kiri), memberi ucapan kepada hadirin di Pusat Budaya Universiti, Universiti Nasional Singapura, pada 12 September sambil disaksikan Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Pemimpin Kota Vatican dan Ketua Gereja Katolik, Pope (Paus) Francis (kiri), memberi ucapan kepada hadirin di Pusat Budaya Universiti, Universiti Nasional Singapura, pada 12 September sambil disaksikan Presiden Tharman Shanmugaratnam. - Foto ST

Singapura telah mencapai kemakmuran ketara sedang ia berusaha untuk membangunkan masyarakat yang mementingkan keadilan sosial dan kebaikan bersama, kata Pope (Paus) Francis.

Pemimpin Kota Vatican berusia 87 tahun itu berkata kisah kemajuan Singapura berteraskan perkembangan dan daya tahan melalui dasar perumahan awam yang berkesan, mutu pendidikan yang tinggi dan sistem penjagaan kesihatan yang cekap.

Ini, menurut beliau, menunjukkan komitmen pemerintah untuk meningkatkan mutu kehidupan warganya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat negara dalam Bahasa Italy, kepada sekitar 800 hadirin di Pusat Budaya Universiti (UCC), Universiti Nasional Singapura (NUS), pada 12 September sempena lawatan rasmi tiga harinya ke Singapura. Amanat Paus Francis itu diiringi sari kata dalam bahasa Inggeris yang ditayangkan di skrin di auditorium bagi kemudahan mereka yang hadir.

Antara hadirin termasuk mantan presiden, Puan Halimah Yacob dan Encik Tony Tan; para menteri Kabinet, diplomat asing, agensi perkhidmatan sosial serta pelajar.

Awal sebelum ini, Paus Francis telah disambut oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 9 pagi di Bangunan Parlimen, dengan orkid Dendrobium His Holiness Pope Francis dinamakan sempena lawatannya itu.

Dalam pada itu, lebih 50,000 orang berkumpul di Stadium Negara untuk menghadiri perhimpunan gereja atau mass yang dipimpin Paus Francis. Mereka yang hadir telah tiba di stadium di Kallang itu beberapa jam sebelum perhimpunan yang merupakan kemuncak lawatan Paus Francis ke sini bermula pada 4.30 petang.

Sementara itu, dalam amanatnya juga, Paus Francis memuji inisiatif dan dasar yang dilaksanakan pemerintah untuk menyokong golongan paling terdedah di sini. Ini memandangkan Singapura telah melancarkan inisiatif seperti Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) untuk pekerja bergaji rendah.

Beliau juga menggesa agar Singapura melindungi kebajikan pekerja migran kerana golongan ini “telah memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan seharusnya dijamin gaji yang adil”.

Sementara itu, Tuan Presiden, yang turut menyampaikan ucapan di UCC, menggariskan tentang “cabaran kritikal” sejagat yang menjejas Singapura, serta peri penting mengekalkan usaha memperkukuh keharmonian berbilang agama.

Beliau menyentuh peranan penting pemimpin agama dalam membimbing masyarakat sambil “memupuk norma dan nilai yang dikongsi” kerana keharmonian yang dinikmati di sini adalah hasil usaha pembangunan negara sejak berdekad.

Tuan Presiden juga berkata tumpuan Paus Francis terhadap isu-isu seperti kemampanan dan perubahan iklim telah memberi inspirasi kepada ramai.

“Mesej ini semakin relevan dalam dunia yang bergelut untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat sambil pada masa sama melakukan peralihan kepada tenaga bersih... dunia yang perlu menyediakan makan kepada penduduk yang semakin pesat berkembang tanpa mencetuskan kerosakan alam sekitar yang lebih meruncing,” katanya.

Dalam ucapannya, Paus Francis juga menekankan peri penting nilai-nilai kekeluargaan. Keluarga, menurutnya, adalah titik mula seseorang insan itu belajar mengenai mengasihi dan dikasihi.

Namun asas kekeluargaan itu kini sedang dicabar oleh keadaan sosial semasa dan menghadapi risiko dilemahkan, katanya.

“Keluarga mesti berperanan untuk menyampaikan nilai yang memberi makna dan membentuk kehidupan, selain mengajar generasi muda bagaimana untuk membentuk hubungan yang kukuh dan sihat.

“Justeru, usaha untuk menggalak, melindungi dan menyokong perpaduan keluarga melalui kerja pelbagai institusi wajar dipuji,” ujarnya.

Semasa merumuskan amanatnya, Paus Francis berkata beliau berharap Singapura akan meneruskan perjalanannya di landasan sekarang.

“Singapura adalah contoh cemerlang tentang apa yang manusia boleh capai dengan bekerjasama secara harmoni, dengan rasa tanggungjawab dan semangat keterangkuman dan persaudaraan,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata dalam pertemuan mereka, Tuan Presiden dan Paus Francis telah membincangkan kepentingan memupuk sikap keterbukaan dalam masyarakat, dan membina jambatan antara golongan berbeza kepercayaan. Mereka juga menekankan keperluan mendesak untuk memelihara alam sekitar.

Dalam pertemuan mereka pula, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menggariskan hubungan kukuh Singapura dengan Kota Vatican, dan menekankan sumbangan Gereja Katolik dalam bidang seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Kedua-dua pemimpin akur bahawa dunia menghadapi banyak cabaran, namun melahirkan keyakinan bahawa cabaran tersebut dapat diatasi secara bersama.

Paus Francis juga telah mengadakan pertemuan privet dengan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg