Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura mesti aktif dalam tentukan nasib negara

Akan laksana tiga teras utama tangani ketidaktentuan aturan dunia sekarang
Apr 16, 2025 | 8:49 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Singapura mesti bertindak dengan tangkas dan tekad besar, dan secara aktif menentukan nasib negara ini sendiri. Beliau berkata demikian pada Edisi ke-14 Ceramah S Rajaratnam 2025 di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada 16 April.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Singapura mesti bertindak dengan tangkas dan tekad besar, dan secara aktif menentukan nasib negara ini sendiri. Beliau berkata demikian pada Edisi ke-14 Ceramah S Rajaratnam 2025 di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada 16 April. - Foto MDDI

Di sebalik keterbatasan Singapura sebagai negara kecil yang kemakmurannya bergantung kepada aturan global yang kini bercelaru, negara ini tidak mampu menjadi penonton pasif dalam landskap yang berubah, dan mesti aktif menentukan nasibnya sendiri, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

“Sebaliknya kita mesti bertindak dengan tangkas dan tekad besar, dan secara aktif menentukan nasib kita sendiri. Kita mempunyai sumber lebih baik, lebih berkebolehan dan lebih terhubung daripada kita pada 1965.

“Kita telah menjalin persahabatan kukuh di seluruh dunia. Jenama Singapura dihormati, dan kita menikmati rasa muhibah antarabangsa yang mendalam,” katanya semasa berucap di Edisi ke-14 Ceramah S Rajaratnam 2025 di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada 16 April.

Lebih 900 tetamu termasuk pemegang jawatan politik, pegawai kanan pemerintah, anggota diplomatik dan badan pemikir, pegawai awam dan pelajar hadir di ceramah tersebut.

Encik Wong berkata dalam menangani ketidaktentuan aturan dunia sekarang, Singapura akan melaksanakan tiga teras utama – menyumbang secara aktif kepada pengawasan kepentingan umum sejagat; memperjuangkan perpaduan dan integrasi serantau yang lebih mendalam; dan mengukuhkan rangkaian perkongsian sejagat.

Mengenai teras menyumbang secara aktif kepada pengawasan kepentingan umum sejagat, beliau berkata banyak cabaran paling mendesak di dunia – termasuk daripada tadbir urus kecerdasan buatan (AI) dan perubahan iklim kepada pandemik masa depan – memerlukan lebih banyak kerjasama sejagat, bukan kurang kerjasama.

“Apabila kita mengatakan kita menyokong undang-undang antarabangsa dan multilateralisme, kita bukan hanya mengharapkan yang terbaik; kita giat berusaha untuk menjayakan sesuatu.

“Kita memahami kepentingan kita sebagai sebuah negara kecil adalah paling baik dilindungi apabila peraturan terpakai kepada semua (pihak) secara sama rata, dan kita mengambil langkah kukuh untuk menegakkan peraturan tersebut,” ujarnya.

Mengenai teras memperjuangkan perpaduan dan integrasi serantau yang lebih mendalam, Encik Wong berkata Asean kekal sebagai satu keutamaan kepada dasar luar Singapura.

Dalam dunia yang berpecah-belah, perpaduan serantau lebih penting daripada sebelumnya.

Jika Asean boleh kekal padu dan proaktif, ia akan membantu kesemua 10 anggotanya mengharungi ketegangan geopolitik dan mengekalkan kerelevanan kolektif blok itu, ujarnya.

Mengenai teras ketiga iaitu mengukuhkan rangkaian perkongsian sejagat, Encik Wong berkata Singapura mesti membangunkan hubungan yang lebih pelbagai dan lebih mendalam dengan pelbagai rakan kongsi.

Lebih banyak hubungan dibuat, lebih berdaya tahan dan lebih baik bagi Singapura mengharungi ketidakpastian.

Singapura juga, katanya, akan mempertingkat hubungan lebih baik di Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin.

PM Wong berkata seperti pada 1965, Singapura kini sekali lagi mendapati negara ini berada dalam keadaan yang penuh ketidaktentuan.

Namun walaupun negara ini kecil tanpa sumber asli, ia bukan lagi Singapura seperti enam dekad lalu.

“Singapura mungkin sebuah pulau. Tetapi kita tidak boleh mempunyai mentaliti pulau. Kita perlu menjaga antara satu sama lain dan mengukuhkan ikatan persahabatan kita – dalam masyarakat kita, dan dengan pihak lain di luar negara kita.

“Ini bukan sahaja terpakai kepada kita secara individu tetapi sebagai sebuah negara juga. Walaupun negara lain beralih arah melihat ke dalam, kita perlu kekal terbuka – terbuka kepada idea, terbuka kepada perkongsian dan terbuka kepada peluang. Kita tiada pilihan.

“Itu selalu menjadi cara Singapura – bukan untuk berundur tetapi untuk keluar mendekati (pihak lain); bukan untuk membina halangan, tetapi untuk membina jambatan.

“Maka janganlah kita takut, marilah kita terus bersatu dan mengharungi badai yang mendatang sebagai satu rakyat. Marilah kita terus mengubah kelemahan kita menjadi kekuatan. Marilah kita berpegang teguh kepada semangat yang membina negara ini, dan memastikan Titik Merah Kecil ini terus bersinar terang sebagai mercu kestabilan harapan dan maksud di pentas dunia,” tambahnya.

“...Kita mesti bertindak dengan tangkas dan tekad besar, dan secara aktif menentukan nasib kita sendiri. Kita mempunyai sumber lebih baik, lebih berkebolehan dan lebih terhubung daripada kita pada 1965.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg