Singapura telah mengharungi dan mengatasi pelbagai krisis sebelum ini, namun ketidaktentuan global yang berpunca daripada tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat kini dianggap luar biasa dan dijangka berpanjangan, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Beliau menegaskan bahawa persekitaran luar yang stabil dan menyokong tidak lagi boleh dianggap sesuatu yang terjamin.
“Ada yang kata ‘jangan cemas, jangan besar-besarkan isu, kita pernah tempuhi krisis yang lebih besar dan kita masih bertahan’,” kata SM Lee, yang bercakap kepada wartawan menjelang sesi dialog bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang turut dihadiri Presiden NTUC, Cik K. Thanaletchimi; Setiausaha Agung, Encik Ng Chee Meng, dan pemimpin kesatuan lain.
“Kita harus hadapinya dengan tenang, tetapi pada masa yang sama perlu ambil peduli dan memahami apa yang sedang berlaku serta kesannya kepada kita,” kata SM Lee.
“Saya harap rakyat Singapura faham situasi ini, apa yang dipertaruhkan dan apa yang perlu kita lakukan bersama untuk menjamin masa depan kita,” tambahnya.
Beliau menyorot kembali usaha negara dalam mengharungi pelbagai krisis sebelum ini, seperti krisis kewangan Asia, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars), dan pandemik Covid-19, lapor The Straits Times (ST).
Meski Singapura sebelum ini berjaya mengharungi pelbagai cabaran, kejayaan tersebut berlaku ketika negara mempunyai dua kelebihan – iaitu keupayaan rakyat untuk bersatu semasa krisis, serta sistem ekonomi global yang menyokong perdagangan bebas serta memberi peluang sama rata.
SM Lee berkata: “Aliran pelaburan yang bebas menggalakkan syarikat berbilang negara (MNC) mencari peluang untuk menjalankan perniagaan. Kita cekap, kita berjaya. Bila berlaku masalah, kita bangkit semula. Kita sambung berkembang, membangun dan mencapai kejayaan.”
Apabila sistem kewangan global dan dasar Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berfungsi dan dihormati, negara besar mahupun kecil dapat bersaing secara adil kerana peraturannya jelas dan pasaran perdagangan dibuka sama rata untuk semua, tambah SM Lee.
Ini membolehkan Singapura menikmati akses pasaran yang sama seperti negara-negara besar, dan mendapat manfaat daripada kuasa rundingan mereka, sekaligus membuka peluang bagi pelaburan dan pekerjaan.
Namun, beliau menerangkan bagaimana Amerika, dengan peraturan tarif barunya, kini ingin “memansuhkan sistem” dengan menggantikan prinsip Negara Paling Dihormati (MFN) dengan tarif timbal balik.
Pada 9 April, Presiden Amerika, Encik Donald Trump mengumumkan penangguhan selama 90 hari terhadap tarif timbal balik, kecuali terhadap cukai yang dikenakan ke atas China, yang kini mencecah 145 peratus.
Ini menyebabkan China memberi respons dengan menaikkan tarif ke atas barangan Amerika kepada 125 peratus, berkuat kuasa mulai 12 April.
Singapura masih tertakluk kepada cukai tetap sebanyak 10 peratus yang dikenakan oleh Encik Trump ke atas barangan eksport dari semua negara asing, yang berkuat kuasa pada 5 April.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg