Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura, M’sia terus bincang isu dua hala walau rumit, beza pandangan

Isu rumit termasuk ruang udara, air, persempadanan maritim
Dec 4, 2025 | 7:42 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan), dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia yang kali ini diadakan di Hotel The Ritz-Carlton, Millenia Singapore pada 4 Disember.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan), dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia yang kali ini diadakan di Hotel The Ritz-Carlton, Millenia Singapore pada 4 Disember. - Foto ZAOBAO

Singapura dan Malaysia akan terus membincangkan isu dua hala yang belum selesai antara dua negara, termasuk isu ruang udara, air dan persempadanan maritim, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 4 Disember.

Meskipun isu tersebut adalah rumit dan terdapat perbezaan dalam pandangan, “sebagai jiran baik, kita akan terus mendekati dengan niat baik”, kata beliau ketika berucap pada sidang media bersama dengan rakan sejawat beliau dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12.

“Isu-isu dua hala yang belum selesai ini adalah isu rumit. Terdapat perbezaan pandangan dan ia tidak mudah diselesaikan. Namun, sebagai jiran baik, kita akan terus mendekati dengan niat baik.

“Oleh itu, PM Anwar dan saya telah membimbing pegawai kami untuk meneruskan perbincangan mereka dengan semangat membina dan saling menghormati.

“Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan Malaysia bagi mencapai hasil yang positif dan berkekalan, dengan keseimbangan manfaat untuk kedua-dua belah pihak.

“Meskipun sedang kita meneruskan perbincangan ini, kita akan memastikan kita mengekalkan semangat positif hubungan kita secara keseluruhan dan tidak membenarkan isu-isu ini menjejas kerjasama keseluruhan kita,” kata beliau.

Ini merupakan kali kedua Encik Wong dan Datuk Anwar mengadakan rahat pemimpin bersama selaku Perdana Menteri – kali ini di Singapura di Hotel The Ritz-Carlton, Millenia Singapore – menyusuli yang pertama di Putrajaya, Malaysia pada Januari 2025.

Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12 itu diadakan sedang dua negara itu menyambut ulang tahun ke-60 hubungan dua hala pada 2025.

Isu ruang udara yang dihadapi Singapura dan Malaysia adalah berhubung aturan bagi pengurusan trafik udara untuk memenuhi keperluan semasa dan masa depan kedua-dua negara.

Encik Wong berkata beliau dan rakan sejawatnya telah mengadakan “perbincangan yang membuahkan hasil”, dan mengiktiraf isu ruang udara itu bukan berkenaan soal kedaulatan.

Namun, ia tentang pengurusan trafik udara kedua-dua negara dan untuk memenuhi keperluan semasa dan masa depan lapangan terbang masing-masing, iaitu lapangan terbang di Kuala Lumpur dan Senai bagi Malaysia, dan di Changi dan Seletar bagi Singapura.

“Ia tentang mengiktiraf dalam persekitaran baru, di mana jumlah trafik udara telah meningkat, terutamanya bagi trafik Timur-Barat Malaysia, maka kami perlu melihat cara terbaik untuk mengoptimumkan pengurusan trafik udara.

“Kedua-dua pihak komited melakukannya menerusi satu kajian bersama, dan itu yang telah kita selesaikan – prinsipnya, parameternya, dan kita sedang maju ke hadapan.

“(Isu ini) belum selesai sepenuhnya, tetapi kita sedang maju ke hadapan dengan pendekatan membina, semangat bekerjasama dan cuba mencari huraian yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” kata beliau.

Berkenaan isu air – walaupun tidak mendesak – Encik Wong berkata kedua-dua Singapura dan Malaysia mempunyai kepentingan bersama untuk meningkatkan bekalan air dan melindungi mutu air Sungai Johor.

Sejak beberapa tahun lalu, rantau ini telah merakamkan paras hujan yang baik, namun dengan pertumbuhan industri dan pelaburan di Johor, serta perubahan cuaca yang ekstrem, ia boleh mendorong permintaan bagi air meningkat.

“Berdasarkan pertimbangan jangka panjang tersebut, pegawai dari kedua-dua pihak telah bertemu untuk melihat jika terdapat peluang kerjasama, terutamanya untuk membina lebih banyak prasarana baru yang akan memperkukuh daya tahan bekalan air, dengan manfaat bagi kedua-dua Johor dan juga Singapura, di bawah perjanjian air 1962 kita,” kata Encik Wong.

Bagi isu persempadanan maritim di kedua-dua bahagian timur dan barat negara pula, Encik Wong berkata pegawai kedua-dua belah pihak telah mengadakan beberapa pusingan perbincangan untuk lebih memahami kedudukan masing-masing.

Namun begitu, beliau menambah masih lebih banyak masa diperlukan untuk menyelesaikan isu tersebut.

Datuk Anwar berkata meskipun terdapat perbezaan pandangan dalam isu dua hala yang belum dapat diselesaikan itu, “tiada permusuhan” antara Malaysia dengan Singapura, dan dua negara itu juga tidak mengambil tindakan yang akan mengecewakan satu sama lain.

“Apa yang perlu dipersetujui adalah bagi mempermudahkan prosesnya dan sekurang-kurangnya mempunyai kejelasan supaya ia tidak akan mewujudkan masalah pada masa depan,” kata beliau.

“... buat julung-julung kalinya pada masa ini, parameternya jelas tentang apa yang diperlukan bagi Singapura dan Malaysia. Oleh itu, mari kita mencari huraian di mana kedua-duanya dapat meraih manfaat, untuk berfungsi secara berkesan dalam kedua-dua ruang udara dan maritim,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg