Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura perlu berani kekal luar biasa di tengah ketidaktentuan sejagat

Antara bidang yang boleh dimanfaat termasuk AI, tenaga nuklear
Jul 29, 2025 | 6:59 PM
PM Wong, dialog IPS-SBF, dunia berpecah-belah
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), di sesi dialog Persidangan Institut Pengajian Dasar (IPS)-Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) ‘Bandar Global Singapura: SG60 Dan Selanjutnya’ di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 29 Julai. Bersama beliau ialah moderator, Pengarah IPS, Encik Janadas Devan. - Foto ST

Singapura perlu bersikap berani supaya negara ini dapat terus kekal luar biasa, walaupun adalah lebih mencabar untuk berbuat demikian dalam dunia yang berpecah belah hari ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Negara ini bukan hanya perlu menangani ketidaktentuan semasa dan potensi kelembapan ekonomi.

Namun, ia juga harus mempersiapkan diri bagi jangka panjang dan memastikan Singapura terus berkembang maju dan berjaya dalam dunia yang berubah.

Demikian antara tema yang akan disentuh Encik Wong dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaannya pada Ogos nanti.

Bercakap di sesi dialog Persidangan Institut Pengajian Dasar (IPS) – Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) bertajuk ‘Bandar Global Singapura: SG60 Dan Selanjutnya’ di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 29 Julai, Encik Wong berkata Singapura telah mencatat kemajuan besar sepanjang 60 tahun lalu, namun masih terdapat ruang bagi negara ini melakukan lebih baik dalam pelbagai bidang.

Langkah untuk melakukan lebih baik bagaimanapun akan menjadi lebih mencabar, terutama kerana Singapura berada di kedudukan lebih tinggi hari ini berbanding enam dekad lalu.

Untuk mencatat peningkatan tambahan daripada kedudukan sekarang adalah lebih sukar.

Tetapi negara ini “tidak boleh berasa puas hati”.

“Kita telah bergerak daripada sebuah negara berpendapatan rendah kepada negara berpendapatan tinggi.

“Kita beralih daripada hampir tiada apa-apa, dengan industri yang sangat sedikit, kepada ekonomi yang sangat menyeluruh… Adakah ia bermakna kita hanya boleh kekal di mana kita berada sekarang? Sudah tentu tidak,” kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

“Kita tidak boleh sekadar bergerak tanpa usaha dan fikir bahawa kekal pada status quo sudah mencukupi.

“Kita perlu teruskan dengan langkah-langkah berani untuk memastikan Singapura kekal luar biasa. Dan terdapat banyak perkara besar yang perlu kita fikirkan,” tambah beliau.

Encik Wong memberi beberapa contoh seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara meluas dan kemungkinan memanfaatkan tenaga nuklear di negara ini.

Dalam hal AI misalnya, beliau berkata negara ini perlu memikirkan cara membantu setiap syarikat memanfaatkan dan menyepadukan AI dalam proses perniagaan untuk mengubah industri serta mempertingkat produktiviti dengan cara lebih ketara.

Di samping itu, AI juga harus dimanfaatkan dengan cara bermakna dan sengaja yang mewujudkan pekerjaan untuk rakyat Singapura.

“Hakikatnya, kelebihan besar teknologi adalah apabila terdapat penggunaan secara meluas; apabila negara benar-benar memanfaatkan teknologi merentas seluruh ekonomi. Di situlah anda dapat meraih manfaat sebenarnya,” kata Encik Wong.

Sementara itu, Singapura kini meneroka potensi penggunaan tenaga nuklear, dengan Menteri Tenaga Manusia merangkap merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng, dalam satu wawancara pada 21 Julai berkata negara ini perlu membina keupayaannya dalam tenaga nuklear meskipun ia belum membuat keputusan mengenai penggunaannya.

Ini sedang negara jiran, seperti Filipina dan Indonesia, telah memberi isyarat secara terbuka mereka berhasrat membina loji nuklear di negara mereka.

“Industri masa depan akan menjadi industri digital. Mereka adalah industri yang haus kuasa. Bagaimanakah boleh kita mendapatkan bekalan tenaga bersih untuk Singapura?

“Oleh itu, kita sedang memikirkan langkah-langkah yang boleh kita lakukan untuk mendapatkan tenaga bersih untuk Singapura, termasuk mengkaji dengan serius kemungkinan menggunakan kuasa nuklear,” kata Encik Wong.

Hakikatnya, dunia telah berubah dan perkembangan sejagat yang dilihat telah menjadi lebih “serius dan bahaya”, kata Encik Wong.

Singapura akan terus bekerjasama dengan negara lain untuk mengekalkan institusi sejagat dan kerjasama pelbagai hala.

Tetapi negara ini juga harus bersedia bahawa perpecahan yang sedang berlaku hari ini akan berterusan, tambah beliau.

“... itu sebabnya ia memerlukan kita fikirkan tentang apakah strategi baru yang kita akan perlukan di Singapura untuk mengemudi dunia yang sangat berbeza,” kata beliau.

“Ia bukan sekadar menangani keprihatinan segera, bukan sekadar menangani ketidaktentuan yang berlaku sekarang dan kemungkinan kelembapan ekonomi kita – itu pasti kita akan lakukan.

“Tetapi apa yang boleh kita lakukan dalam jangka panjang untuk mempersiap diri kita dan memastikan Singapura terus berkembang maju dan berjaya? Masih terdapat banyak perkara kita boleh lakukan,” tambah Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg