Singapura mesti bekerja keras mengelakkan negara ini daripada sebarang kuasa yang boleh memecahbelahkan masyarakat antara kaum dan agama, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 1 April.
Republik ini juga mesti menggandakan usaha bagi mengekalkan perpaduan sosial, katanya kepada kira-kira 1,000 tetamu pada satu majlis makan malam untuk meraikan ulang tahun ke-35 Persekutuan Tao dan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura.
Antara pemimpin agama utama Singapura yang hadir sebagai tetamu, termasuk wakil daripada agama Buddha, Kristian, Hindu dan Islam, lapor The Straits Times.
Kehadiran mereka adalah bukti keharmonian agama yang dinikmati Singapura, kata Encik Wong.
Ini tidak berlaku secara kebetulan, tetapi hasil kerja keras generasi berturut-turut rakyat Singapura, katanya.
Walaupun pemerintah telah meluluskan undang-undang dan dasar untuk melindungi dan menjaga perpaduan, para pemimpin agama telah berusaha membina kepercayaan dan persefahaman bersama dan rakyat Singapura juga telah membantu membina masyarakat yang harmoni dan bersatu, tambahnya.
Mengulas lanjut dalam bahasa Mandarin, Encik Wong berkata tempoh 60 tahun – atau ‘yi jia zi’ – melambangkan satu kitaran hidup yang lengkap dalam tradisi Cina dan merupakan satu peristiwa penting.
Terdapat pasang surut dalam kehidupan seseorang dan perkara yang sama boleh dikatakan mengenai kemajuan Singapura dalam tempoh 60 tahun yang lalu, katanya.
“Ramai yang tidak memandang baik terhadap Singapura apabila ia mencapai kemerdekaan pada 1965.
“Tetapi kita berjaya mengatasi kesukaran dan mencipta keajaiban,” kata Encik Wong.
Negara ini bukan sahaja dapat bertahan, tetapi juga berkembang maju, menjadi titik merah kecil yang makmur, tambahnya.
Para pengasas Singapura tidak berputus asa dalam mewujudkan sebuah negara yang mana “semua orang mempunyai peluang untuk berjaya, tanpa mengira kaum, bahasa atau agama”.
Encik Wong menyatakan bahawa ‘yi jia zi’ bukan sahaja bermakna satu pengakhiran yang menggembirakan, tetapi juga satu permulaan baru, sambil menambah bahawa Singapura perlu bersedia untuk cabaran baru.
Beliau berkata dunia sedang berada di titik perubahan, dengan banyak negara berpecah belah disebabkan isu perkauman, agama atau politik.
Negara-negara yang lebih besar dengan sumber yang banyak boleh terus bergerak dalam keadaan sedemikian, tetapi bukan Singapura, tambah Encik Wong.
Itulah sebabnya Singapura mesti melakukan segala yang boleh untuk bersatu dan bekerjasama bagi mengatasi cabaran, katanya.
“Mujurlah, fahaman pelbagai budaya memang sentiasa menjadi kekuatan kita.
“Kita mempunyai kepercayaan agama yang berbeza, tetapi kita sentiasa menghormati antara satu sama lain dan hidup dalam harmoni,” kata Encik Wong.
Encik Wong menghuraikan peranan yang dimainkan kumpulan agama seperti Persekutuan Tao dalam melindungi keharmonian kaum dan agama.
Sebagai contoh, persekutuan itu telah mempromosikan Taoisme dan menyatukan masyarakat Tao serta mengukuhkan kerjasama antara kumpulan-kumpulan agama, katanya.
Sebagai ahli Jawatankuasa Pemandu Nasional mengenai Keharmonian Kaum dan Agama serta Pertubuhan Antara Agama (IRO), ia sentiasa menggalakkan ahlinya menjalinkan hubungan mesra dengan kumpulan agama lain dan menggalakkan persefahaman serta sikap saling menghormati.
Sebagai contoh, ia telah bekerjasama dengan Singapore Buddhist Lodge dan Jamiyah Singapura untuk menyediakan dermasiswa kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Pada 2024, beberapa kuil Tao turut menyahut kempen mengumpul dana Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama Harmony Circle untuk membantu penduduk di Gaza.
“
“Mujurlah, fahaman pelbagai budaya memang sentiasa menjadi kekuatan kita. Kita mempunyai kepercayaan agama yang berbeza, tetapi kita sentiasa menghormati antara satu sama lain dan hidup dalam harmoni.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg